Sukan Hari Ini

AFC tangguh aksi Korea Utara, Malaysia di Pyongyang

KUALA LUMPUR: Perlawanan pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia yang dijadualkan pada 28 Mac ini di Pyongyang, ditangguhkan ke tarikh lain.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam kenyataan hari ini, berkata tarikh baharu perlawanan berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Jawatankuasa Pertandingan AFC mengambil keputusan untuk menangguhkan perlawanan itu selepas peningkatan ketegangan diplomatik antara kerajaan Korea Utara dan Malaysia,” kata AFC dalam laman sesawang rasminya, www.the-afc.com.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaysia yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee dijadual menentang Korea Utara dalam aksi pembukaan Kumpulan B, pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Kim Il-sung di ibu negara Korea Utara, di Pyongyang.

Namun, berikutan hubungan diplomatik yang tegang sejak kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Feb lepas, kerajaan melarang skuad Harimau Malaysia beraksi di negara itu atas faktor keselamatan.

Berikutan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin lepas, memohon agar AFC mengubah venue perlawanan itu ke gelanggang berkecuali.

Pada Selasa lepas, kerajaan Malaysia bertindak balas melarang warga Korea Utara di Malaysia daripada meninggalkan negara ini, selepas Korea Utara bertindak menghalang 11 rakyat Malaysia keluar dari negara berkenaan.

Permohonan gelanggang berkecuali bukan perkara baharu dalam arena bola sepak kerana negara seperti Israel, Palestin, Syria dan Arab Saudi pernah dibenarkan bermain di gelanggang berkecuali atas sebab tertentu sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menyambut baik keputusan itu kerana ia dilihat sebagai langkah paling tepat demi keselamatan pemain dan pegawai pasukan.

“Berhubung tarikh baharu dan venue untuk perlawanan tersebut, FAM menyerahkan sepenuhnya kepada AFC untuk menentukannya dan sedia untuk memberi kerjasama jika diminta berbuat demikian,” katanya.

Hamidin berkata perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Filipina pada 22 Mac ini di Stadium Memorial Rizal Manila, akan tetap diteruskan memandang ia peluang terbaik untuk memperbaiki ranking pasukan, yang kini menduduki tangga ke-161 dunia. — Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");