Perak Hari Ini

Amanah Kecewa Polis Tolak Permit Debat Nazri, Tun M

IPOH:Pemuda AMANAH Negeri Perak melahirkan rasa kecewa dengan keputusan pihak Polis yang tidak meluluskan permohonan penganjur debat antara Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamed dan Menteri Perlancongan, Dato’ Seri Nazri Aziz.

Ketua Pemudanya, Hasnul Zulkarnain berkata biarpun perkara itu sudah dijangka sejak awal lagi,namun menganggap larangan debat yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini adalah satu keputusan yang tidak wajar.

“Alasan-alasan yang dikemukakan dalam kenyataan Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan lebih kepada perkara teknikal yang sebenarnya boleh diselesaikan sekiranya pihak polis benar-benar rasional dalam perkara ini.

“Sedangkan pihak penganjur telah mengikuti segala ketetapan yang dikemukakan oleh pihak polis sebelum ini.

“Tugas pihak polis adalah untuk memastikan keamanan di dalam negara ini terjaga, bukannya menghalang segala aktiviti yang sebenarnya telah dijamin oleh perlembagaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, program debat sebegini tidak langsung memberi ancaman kepada keselamatan negara sebaliknya adalah program-program biasa yang telah diamalkan oleh pelbagai pihak sebelum ini.

“Dalam hal ini, tugas sebenar pihak polis adalah menjaga keselamatan semasa program dan menghalang segala bentuk provokasi daripada mana-mana pihak ketika program sedang berlangsung. Itu adalah lebih utama dan selari dengan tugas sebenar pihak polis,” katanya lagi.

Katanya, pihak polis sebenarnya boleh mencari dan mencadangkan lokasi alternatif sekiranya MRSM Kuala Kangsar tidak kondusif untuk debat ini dilangsungkan.

“Kami mencadangkan debat ini diadaakan di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar ataupun di Arena Square Sungai Perak yang mampu menampung kapasiti yang ramai.

“Pemuda AMANAH Negeri Perak sangat berharap agar debat ini dapat diteruskan seperti yang dijadualkan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");