Berita Hari Ini

Ayam, telur selamat dimakan – JPV

KUALA LUMPUR : Jabatan Perkhidmatan Veterinar merampas 148 unggas dalam Operasi Sekatan Jalan Raya membasmi penyakit berkaitan Unggas (HPAI) dan selsema burung (H5N1), di Kelantan, semalam.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dalam satu kenyataan, hari ini, berkata satu kes membabitkan tiga unggas dirampas selepas pemeriksaan ke atas 235 kenderaan manakala, 145 unggas dirampas dalam 23 kes pemeriksaan ke atas 2,383 kenderaan.

“Sekatan Jalan Raya dikendalikan sebagai kawalan pergerakan unggas keluar dari Kelantan di empat lokasi strategik, yang dirahsiakan.

“Langkah ini supaya wabak tidak tersebar ke negeri lain dan supaya negeri lain berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

“Semua negeri yang bebas sedang melakukan pemantauan aktif serta kawalan pergerakan unggas di jalan masuk ke negeri masing-masing,” katanya.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar berkata sebanyak 748 ternakan unggas dan 492 telur turut dilupuskan dalam Operasi pelupusan HPAI manakala, kira-kira 55,033 ternakan unggas dan 16,596 telur di 24 lokasi wabak dilupuskan dalam operasi sama.

Katanya, susulan operasi berkenaan mendapati tiada ladang ternakan ayam komersial di kawasan lingkungan 10 kilometer (km) radius kawasan pengesanan penyakit terkena wabak itu.

“Telur dan daging ayam yang ada di pasaran selamat dimakan kerana dikeluarkan oleh pengusaha dan penternak dari negeri bebas wabak H5N1 serta HPAI.

“Keadaan hasil ternakan di Kelantan juga terkawal dan jangkitan terhad kepada ayam kampung dari penternak kecil-kecilan sahaja.

“Pelbagai langkah dilaksanakan untuk memastikan telur dan hasil ternakan bebas jangkitan antaranya, mengkuatkuasakan pembasmian kuman di premis dijangkiti, kawalan pergerakan dan kuarantin zon jangkitan selama 42 hari,” katanya memetik sumber Berita Harian Online.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut menjelaskan wabak adalah terkawal dalam radius 30 km dari lokasi kejadian ayam mati di Kampung Pulau Tebu, yang membabitkan enam lokasi iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tumpat, Tanah Merah dan Bachok.

Tiada lokasi baharu dikesan positif jangkitan dan tiada kes jangkitan dikesan dalam kalangan manusia.

Sehubungan itu, orang ramai diminta melaporkan segera kepada Pejabat Veterinar yang terdekat sekiranya ada kejadian kematian ayam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");