Berita Hari Ini

Bangkang Pendidikan Seks Di Sekolah: Pemimpin PAS Dibidas

Kumpulan Mothers Against Pornography mempersoalkan seorang pemimpin PAS yang menolak pendidikan seks sebagai jalan membendung seks di luar nikah di kalangan remaja.

Pertubuhan itu menyatakan bahawa pendidikan seks termasuk reproduktif adalah penting supaya pelajar dibekalkan ilmu mengikut peredaran zaman.

“Pendidikan awal seks kepada kanak kanak ini dijamin dapat menurunkan statistik kehamilan anak luar nikah,” kata jurucakap Mothers Against Pornography, Fadhli Othman.

Fadhli mengulas kenyataan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan, yang semalam mendakwa pendidikan seks bukan penyelesaian kepada masalah industri “zina dan pelacuran”.

Nasrudin, yang juga ketua penerangan PAS, berkata pendidikan seks di sekolah mungkin mampu mencegah kehamilan luar nikah tetapi bukan mencegah zina.

Fadhli berkata gejala zina, sumbang mahram, kelahiran dan anak luar nikah sebenarnya bermula daripada sentuhan secara rela atau paksaan.

“Isu ketagihan pornografi, zina, kehamilan anak luar nikah berlaku kerana masyarakat kurang kesedaran mengenai kepentingan pendidikan reproduktif.”

Menurut Fadhli, jenayah seksual berpunca daripada kurang pendedahan mengenai ilmu Pendidikan Reproduktif dan Sosial (PEERS) yang diperkenal Kementerian Pendidikan kepada murid sekolah rendah.

Fadhli menjelaskan subjek tersebut diajar seawal darjah 1 sehingga darjah 6 mengikut aras yang berbeza-beza.

“Murid didedahkan dengan ilmu reproduktif dan sosial di mana mereka diajar agar cakna dengan kewujudan aset diri mereka.

“Mereka dibimbing mengenali setiap inci tubuh badannya lebih-lebih lagi anggota seksual,” katanya.

“Hal ini kerana kurang pengetahuan dan akhirnya mangsa mudah tergoda dan mengikut apa saja kata pemangsa yang cuba melampias nafsu serakahnya.”

Katanya, jika dari awal mangsa diajar dengan kaedah yang betul seperti mengenal anggota seksual dan berani bersuara, gejala zina atau rogol tidak akan berlaku.

Fadhli menggesa Nasrudin membantu usaha demikian dan jentera PAS “turun padang” membantu guru menganjurkan program motivasi kesedaran mengenai pendidikan reproduktif dan sosial.

“Saya harap dia dapat keluar dari kepompong kehidupan ‘orang agama’ untuk memahami realiti pendidikan dan ilmu sosiologi.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");