Isu Panas

Debat Annuar-Kit Siang dijangka hujung April

KUALA LUMPUR: Debat di antara Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang sudah pasti ditunggu-tunggu khususnya dalam kalangan pengikut perkembangan politik tempatan mungkin menjadi realiti.

Ini memandangkan satu usaha sedang digerakkan oleh Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia dan Gabungan NGO-NGO Malaysia untuk memastikan debat di antara tokoh veteran DAP dengan pemimpin UMNO itu dapat direalisasikan.

Pengerusi Sekretariat Penganjur, Dr. Ammar Hassan berkata, surat jemputan rasmi telah dihantar kepada kedua-dua pemimpin itu dan setakat ini hanya Annuar yang telah memberi jawapan balas menyatakan persetujuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya, pihak penganjur masih menunggu pengesahan daripada Kit Siang dan percaya Ahli Parlimen Gelang Patah yang telah 51 tahun memimpin DAP itu akan bersetuju dengan debat berkenaan.

“Tujuannya adalah untuk menyediakan platform kepada kedua-dua tokoh politik ini menyatakan pandangan, fakta serta mempertahankan diri daripada dakwaan-dakwaan yang dilemparkan kepada sesama sendiri.

“Kita lihat sejak kedua-duanya berdebat di dalam Parlimen, pertikaman lidah antara mereka berlarutan sehingga ke luar menerusi laporan media. Jadi di sini kami mengambil inisiatif menyediakan pentas untuk mereka berhujah supaya rakyat boleh menilai fakta sebenarnya,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Buat masa ini debat tersebut telah ditetapkan berlangsung pada pukul 8.30 malam dan bertempat di PWTC dengan pihak penganjur cuba untuk mendapatkan slot siaran langsung menerusi televisyen.

Bagaimanapun, pihak penganjur masih belum mempunyai tarikh rasmi sementara menunggu persetujuan rasmi kedua pihak tetapi menetapkan debat itu perlu diadakan pada penghujung April bagi memberi ruang untuk persiapan.

Pihak penganjur juga akan menghantar surat memohon permit daripada pihak polis bagi memastikan acara tersebut berjalan dengan lancar memetik sumber Utusan Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");