Jenayah

Dipenjara 8 tahun, 3 sebatan rogol bekas rakan

PUTRAJAYA – Seorang pemuda berusia 23 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga kali sebatan selepas didapati bersalah merogol bekas rakan sekolahnya lima tahun lepas.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Seri Zakaria Sam membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan Wan Ahmed Qayyum Abdul Aziz bagi kesalahan itu dan menggantikannya dengan sabitan.

Hakim Zakaria, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Kamardin Hashim, memutuskan bahawa rayuan pihak pendakwaan mempunyai merit.

Wan Ahmed Qayyum, yang baru menamatkan pengajian dalam bidang elektrik, dituduh merogol gadis itu, yang ketika itu berusia 13 tahun, di belakang tepi longkang di Taman Angsana Mantin, Nilai, Negeri Sembilan pada 1.20 pagi, 26 Ogos 2012.

Dia dilepaskan dan dibebaskan daripada kesalahan itu oleh Mahkamah Sesyen pada 18 April 2015 dan Mahkamah Tinggi mengekalkan pembebasannya pada 9 Mac tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dalam memutuskan pihak pendakwaan gagal menyediakan elemen penetrasi.

Beliau berkata mangsa berasa amat yakin bahawa berlakunya penetrasi dalam kejadian itu.

Menurutnya Wan Ahmed Qayyum telah mengambil kesempatan dengan merogol gadis itu, yang menganggap dia sebagai abang angkatnya.

Hakim Mahkamah Sesyen memutuskan keterangan Wan Ahmed Qayyum bahawa dia memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa adalah boleh dipercayai dan tidak ada bukti sokongan yang menunjukkan mangsa dirogol.

Azizul Shariman Mat Yusof, peguam Wan Ahmed Qayyum, sebaliknya berhujah bahawa mangsa tidak boleh dipercayai kerana dia memberi tiga versi mengenai kejadian itu.

Beliau berkata perbuatan itu dilakukan secara rela oleh kedua-duanya dan anak guamnya tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana mangsa yang meminta Wan Ahmed Qayyum bertemu dengannya di tempat itu.

–Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");