Berita Hari Ini

Enggan keluar daripada zon selesa antara faktor siswazah menganggur

KUANTAN: Sikap memilih pekerjaan dan enggan keluar daripada ‘zon selesa’ dikenal pasti antara punca ramai siswazah masih gagal mendapat sebarang pekerjaan walaupun telah lama menamatkan pengajian.

Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Rahamat Bivi Yusoff berkata hasil program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang diadakan mendapati kebanyakan siswazah lebih cenderung mencari pekerjaan di kawasan tempat tinggal atau kelahiran mereka selain mencari pekerjaan dalam sektor awam.

“Isunya bukan sebab tidak ada pekerjaan tetapi masalah ramai siswazah yang memilih untuk mencari pekerjaan dengan kerajaan kerana katanya lebih bagus dan terjamin sedangkan sektor swasta tidak kurang hebatnya.

Malah ada juga yang yang sanggup berhenti kerja dalam sektor swasta semata-mata nak minta kerja sektor awam kerajaan, sedangkan kerajaan kini tidak lagi membuat pengambilan baharu dan hanya isi kekosongan jawatan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan SL1M Peringkat Zon Timur di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Sektretariat SL1M Norashikin Ismail.

Turut hadir Naib Canselor UMP Datuk Dr Daing Nasir Daing Ibrahim serta Duta SL1M yang juga penyanyi terkenal Faizal Tahir.

Program itu disertai lebih 100 syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dan latihan. Ia merupakan yang kedua dilaksanakan selepas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bulan lepas.

Sehubungan itu, katanya graduan itu sendiri perlu berusaha dan berani untuk keluar dari zon selesa dan merantau untuk mencari pekerjaan demi mengubah masa depan diri dan keluarga.

“Semasa program ini di adakan di PWTC, kita telah menawarkan 25,000 peluang pekerjaan dan untuk program hari ini sendiri sebanyak 10,00 peluang pekerjaan, jika siswazah merebut peluang yang diberikan ini, soal pengangguran pasti akan dapat dikurangkan.

Kerajaan telah melakukan banyak usaha untuk membantu siswazah dan golongan belia di negara ini termasuk SL1M dan program lain, namun jika empunya diri sendiri tidak berusaha, tidak ada apa yang kita boleh lakukan seperti kata pepatah Inggeris ‘you can lead a horse to water, but you can’t make it drink’ (anda boleh membawa seekor kuda ke air tetapi belum tentu anda boleh menyuruhnya minum),” katanya

Sejak program SL1M ini diadakan pada 2011 sehingga kini, katanya lebih 99,000 siswazah telah berjaya dibantu untuk mendapatkan pekerjaan dan pada tahun ini sebanyak sembilan siri Program SL1M akan diadakan termasuk di PWTC dan UMP, di Kuantan pada Khamis.

Sementara itu, Faizal berkata siswazah perlu berhenti memberikan alasan dan menyalahkan keadaan sekitar termasuk keadaan ekonomi semasa sebagai faktor mereka gagal mendapatkan pekerjaan.

“Sekarang kita tidak ada alasan lagi kerana kerajaan telah banyak membantu menerusi pelbagai cara termasuk SL1M… sebagai siswazah kita kena berani, kena yakin kepada diri sendiri dan tidak takut kepada kegagalan,” katanya.

Faizal berkata beliau sendiri pernah melakukan banyak pekerjaan seperti kerani bank dan bekerja di restoran makanan segera sebelum menikmati kejayaan pada hari ini termasuk sebagai penyanyi.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");