Membawang Hari Ini

Fazura Sebak Rakam Lagu Baharu

JAKARTA: Pelakon dan juga penyanyi, Nur Fazura Sharifuddin, mengaku lagu Bisa Apa ciptaan komposer terkenal Indonesia, Numata, yang dirakamkan di Studio Backbeat di sini, cukup menyentuh jiwanya.

Fazura, 33 berkata, lagu itu menyentuh jiwanya apabila kombinasi melodi dan lirik yang cukup melankolik membuatkan dirinya larut dalam emosi.

“Saat mendengar melodi dan liriknya, saya sudah tertarik dengan lagu terbabit. Ketika merakamkannya pula, saya dapat berasakan perasaan sedih wanita yang ditinggalkan kekasih kerana lelaki itu memilih wanita lain.

“Saya cuba menjiwai perasaan itu sehingga ia terbawa-bawa dalam rakaman dan membuatkan saya sebak,” kata pelakon J Revolusi ini kepada Berita Harian.

Diusik dengan pertanyaan apakah lagu berkenaan ada kaitan dengan kisah hidupnya, Fazura berkata, sebagai penyanyi beliau cuba menyampaikan amanah komposer dan penulis lirik dengan sebaik mungkin.

“Menyanyi juga seperti berlakon. Saya cuba sampaikan mesej dengan baik dan kalau pendengar dapat rasakan cerita yang saya sampaikan itu seperti kisah benar, bermakna mesej itu sampai,” kata Fazura yang mengambil masa dua jam untuk merakamkan lagu itu.

Beliau merakamkan lagu berkenaan untuk projek album solo pertama dirinya yang dijangka berada di pasaran selepas Aidilfitri nanti.

Album itu diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, yang juga bertindak sebagai pengurus kerjaya seninya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");