Sukan Hari Ini

Gold Coast sedia anjur Sukan Komanwel 2022

SYDNEY: Gold Coast, Australia bersedia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel secara berturut-turut, kata Datuk Bandarnya hari ini, selepas tuan rumah 2022, Durban diketepikan kerana gagal memenuhi “tanggungjawab utama”.

Memetik sumber AFP, Datuk Bandar, Tom Tate tidak terus mencalonkan kawasan tumpuan pelancongan di pantai timur itu sebagai pengganti tuan rumah edisi 2022, tetapi berkata jika diminta untuk melakukannya, temasya itu boleh dianjurkan sekali lagi sekiranya penganjuran Komanwel 2018 berjalan lancar seperti dijangka.

“Selagi tidak diminta, kami tidak akan menawarkan diri untuk menganjurkannya,” katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia.

“Kami tidak berada dalam senarai calon, tetapi jika mereka mahu kami melakukannya, kami bersedia.

“Kami mampu melakukannya pada tahun 2018 dan kami akan lakukan dengan baik, sangat baik dan jika kamu mampu melakukannya sekali, maka kamu boleh mengulanginya.”

Jelas Tate, bagaimanapun, dalam “semangat kesukanan Komanwel”, kota lain juga perlu diberikan peluang untuk mendapat manfaat selaku tuan rumah.

Setakat ini hanya Liverpool, di barat laut England, menyatakan kesanggupan untuk temasya 2022. Ketua Sukan Komanwel semalam berkata mereka mencari venue baharu selepas Durban gagal untuk memenuhi “tanggungjawab utama”.

Kerajaan Afrika Selatan – yang sudah mempromosikan negara itu sebagai destinasi acara utama – berkata mereka tidak mampu untuk mencapai persetujuan dengan Persekutuan Sukan Komanwel berkenaan kos penganjuran.

Pembatalan itu mencetus ketegangan politik di Afrika Selatan berkenaan jutaan ringgit yang dibelanjakan bagi tujuan temasya itu.

Temasya empat tahun sekali itu menampilkan saingan antara negara-negara Komanwel – kumpulan negara yang pernah menjadi sebahagian daripada empayar British.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");