Perak Hari Ini

Hanya Kerana Saiz Lebih Besar, Pemandu Bas Berlagak Samseng

Seringkali dilihat situasi dimana kenderaan besar sama ada bas mahupun lori mengambil kesempatan dengan memandu secara merbahaya di jalan raya.

Mungkin kerana saiznya yang lebih besar, maka pemandu merasakan seperti raja di jalanan bagaimanapun keadaan itu ternyata menakutkan pengguna jalan raya yang lain.

Perak Today hari ini mengadakan tinjauan bagi mendapatkan pandangan orang ramai berkaitan sikap samseng segelintir pemandu kenderaan besar.

Mohd Azmil, 30, ketika ditemui menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap sikap pemandu bas tersebut berikutan seringkali melihat insiden merbahaya melibatkan bas atau lori.

“Pemandu bas perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan nyawa penumpang yang mereka bawa dan seharusnya memandu secara berhati-hati.

“Jika mereka bersikap sebegini, ia akan mengakibatkan penumpang takut untuk menaiki bas,” katanya.

Turut sependapat, Sandasamy, 53, yang mengakui bahawa terdapat segelintir pemandu bas yang gemar memandu secara laju dan merbahaya.

Beliau yang juga merupakan, seorang pemandu lori turut menyatakan kekesalan akan sikap samseng berkenaan memberi impak kepada pengguna jalan raya lain.

“Selalu saya berdepan dengan sikap segelintir pemandu bas yang memandu melebihi had laju, berada pada lorong yang salah dan paling teruk mereka tidak membenarkan pengguna jalan raya lain untuk memotong. Ini sangat merbahaya.

“Saya berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan undang-undang yang tegas seperti menyaman pemandu dan syarikat bas yang terlibat,” ujarnya.

Bagaimanapun, bagi Ariff, 30, menganggap orang ramai tidak seharusnya hanya memandang kesalahan dari sebelah pihak sahaja.

“Pemandu bas mempunyai jadual perjalanan mereka sendiri yang perlu mereka ikut, ditambah pula dengan kesesakan jalan raya ini menjadi punca tekanan kepada pemandu bas.

“Pemandu kereta juga ramai yang memandu secara merbahaya dan memotong sesuka hati, mungkin ini juga menjadi punca pemandu bas tersebut marah dan naik angin,” katanya.

Bagi Shahbudin, 48, pula, masalah berkaitan sikap pengguna jalan raya sukar ditangani kerana setiap orang mempunyai sikap yang berbeza.

“Masalah ini sukar untuk ditangani kerana setiap pemandu mempunyai sikap masing-masing yang susah untuk diubah. Semua orang mengejar masa dan mempunyai tekanan kerja. Jadi bila terjadinya masalah sebegini sesiapapun akan cepat marah.

“Pihak berkuasa seharusnya menjalankan pantauan yang kerap bukan sahaja terhadap pemandu bas tetapi perlu juga memantau pemandu-pemandu kenderaan lain,” jelasnya.

Baru-baru ini, viral di laman sosial apabila seorang pengguna Instagram, Tunku Khalsom Ibrahim @khalsomsom yang berkongsi detik mencemaskan itu di laman Instagramnya.

Dalam video berkenaan memaparkan pemandu bas lelaki syarikat Darul Naim Express memandu dalam keadaan berbahaya, mengejar kenderaan Tunku Khalsom serta menunjukkan isyarat tangan dalam kejadian di Lebuh Raya Karak, Pahang.

Video berkenaan kemudiannya mendapat perhatian pihak SPAD dan syarikat itu dimana pemandu bas ekspress terbabit digantung kerja serta merta.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");