Perak Hari Ini

Ikrar Rasuah: Jangan Hanya Cakap Kosong

IPOH:Parti Amanah Perak menyifatkan usaha diambil Kerajaan Negeri dalam membasmi gejala rasuah adalah satu langkah yang baik bagaimanapun pembasmian tersebut hendaklah secara menyeluruh dan bukan hanya indah di mata masyarakat semata-mata.

Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain berkata tindakan angkat sumpah dan lafaz ikrar bebas rasuah oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan para exco dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam tidak cukup untuk terus mengisytiharkan Kerajaan Negeri Perak bebas daripada gejala tersebut.

“Dengan hanya meletakkan pegawai SPRM di Pejabat Menteri Besar, usaha pembasmian gejala rasuah tidak akan berjaya mencapai matlamatnya. Sebaliknya, pegawai suruhanjaya tersebut perlu berada di semua ruang dan entiti di bawah kerajaan negeri.

“Kami menggesa Kerajaaan Negeri turut meletakkan pegawai SPRM di badan-badan berkepentingan seperti Menteri Besar Incorporated (MB Inc), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan juga Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (PKEINPk) dan sebagainya.

“Badan-badan ini sangat berkepentingan dan sentiasa terdedah kepada peluang dan ruang untuk gejala rasuah ini berlaku,” katanya memetik kenyataan media hari ini.

Malah jelasnya Pegawai-pegawai SPRM ini juga mestilah berada di yayasan-yayasan di bawah kerajaan negeri termasuklah Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

“Ini bagi memastikan institusi tersebut bebas daripada dikuasai oleh pihak-pihak berkepentingan sehingga menyebabkan gejala yang tidak diingini berlaku.

“Kami mengingatkan Dr Zambry dan pimpinannya agar tidak ‘bermain wayang’ semata-mata sebaliknya serius dan ikhlas untuk membasmi gejala rasuah di dalam negeri ini. Wayang bersifat kosmetik ini bagi kami hanya mahu melindungi kegagalan kerajaan memperjuangkan nasib rakyat yang kini dihimpit dengan kos kehidupan yang tinggi.

“Sekiranya benar-benar serius, Pemuda AMANAH Negeri Perak mencabar kerajaan negeri membentang audit syarikat-syarikat mahupun yayasan-yayasan di bawah kelolaan kerajaan negeri secara terperinci.

“Pengauditan ini sangat penting dan wajar diketahui oleh seluruh rakyat kerana ia adalah melibatkan dana kerajaan yang diperoleh daripada rakyat seluruhnya,” katanya lagi.

Pemuda Amanah turut mencabar agar pimpinan Kerajaan Negeri yang diketuai Dr Zamry mengisytiharkan harta secara rasmi kepada SPRM.

“Kami sangat menyanjung tinggi sekiranya menteri besar dan anak buahnya berani untuk berbuat demikian demi membuktikan ketelusan mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");