Perak Hari Ini

Ipoh International Waiters Race Edisi Kelima Bantu Promosi Tahun Melawat Perak 2017

IPOH: Penganjuran Ipoh International Waiters Race edisi kelima tahun ini dijangka menampilkan sedikit kelainan dan sekaligus mampu menjadi tarikan unik bagi menjayakan Tahun Melawat Perak 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, penganjuran pertandingan itu dilihat dapat menarik perhatian pengunjung dan pelancong untuk melawat bukan sahaja bandar Ipoh tetapi juga seluruh negeri Perak.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya meneruskan penganjuran pertandingan yang satu-satunya dianjurkan di Malaysia ini.

“Selain memberi pengalaman baru kepada para penonton pertandingan ini diharapkan dapat menarik perhatian pengunjung dan pelancong untuk melawat Perak bagi menjayakan Tahun Melawat Perak 2017,” katanya ketika majlis pelancaran pertandingan tersebut hari ini.

Beliau yang berpuas hati dengan pemilihan lokasi acara yang akan dijalankan bagi tahun ini memberitahu, pemilihan River Walk @ Kinta River Front sebagai lokasi pertandingan ini merupakan pemilihan yang tepat.

Ini kerana katanya, lokasi berkenaan mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Selain itu, beliau juga berharap agar pertandingan ini mampu menaikkan nama dan imej bandaraya Ipoh.

“Kerajaan negeri berharap pertandingan ini mampu meletakkan Ipoh sebagai destinasi utama di Malaysia yang menjadi pilihan pelancong antarabangsa,

“Kita juga akan berbincang dengan pihak penganjuran untuk menaik taraf acara pertandingan ini dan kita harap usaha ini akan berterusan dengan sokongan dari pemain-pemain industri terutamanya pelancongan,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Raja Kamal Bashah berkata, pihak penganjur menganggarkan seramai 400 penyertaan dari peserta dalam dan luar negara.

“Kami menganggarkan seramai 400 penyertaan pada tahun ini dari dalam dan juga luar negara kerana sebelum ini kami pernah mendapat penyertaan dari seluruh Malaysia, Jepun, Brunei, China dan Macau,” katanya.

Beliau berkata, terdapat dua kategori yang dipertandingkan pada tahun ini iaitu Classic Tray dan Sportive Tray.

“Bagi kategori Classic Tray ia dibuka kepada pramusaji (waiter) professional yang bekerja di hotel.a

“Manakala bagi kategori Sportive Tray pula, ianya dibuka kepada semua pramusaji restoran segera dan juga pelajar-pelajar yang mengambil jurusan hospitaliti,” jelasnya lagi.

Ipoh International Waiters Race edisi kelima akan diadakan pada 14 Mei 2017 bertempat di River Walk @ Kinta River Front.

Yuran penyertaan yang dikenakan bagi menyertai pertandingan ini adalah sebanyak RM50 bagi kategori Classic Tray dan Sportive Tray.

Pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan tersebut terbuka kepada peserta lelaki mahupun wanita.

Pemenang bagi kategori Classic Tray akan memenangi wang tunai berjumlah RM2,000 bagi johan, RM1,500 (naib johan) dan RM750 (ketiga).

Bagi kategori Sportive Tray pula, johan akan memenangi wang tunai berjumlah RM1,500, naib johan (RM1,000) dan ketiga (RM700).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");