Jenayah

Isu gelaran Datuk: SPRM tak akan diam diri

SHAH ALAM:Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan berdiam diri dan akan melakukan siasatan pendedahan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai ejen yang menjual pangkat dan darjah kebesaran di Johor Darul Ta’zim.

Memetik sumber Sinar Harian, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, SPRM akan meneliti kes tersebut.

“Kita akan melihat perkara ini. Ia adalah jenayah dan mungkin juga melibatkan rasuah.

“SPRM akan terus mengumpul maklumat,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa SPRM dan juga polis melakukan siasatan terhadap kegiatan sindiket seperti itu yang telah mencalar dan memburukkan institusi Kesultanan dan Raja-raja Melayu.

“Pendedahan Sultan Ibrahim tentang adanya ejen-ejen penipu menawarkan gelaran kebesaran hingga ada yang datang untuk menyogok Tuanku sebanyak RM2 juta bagi membantu mendapatkan pingat darjah ‘Tan Sri’ perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Malah kelmarin, Sultan Johor memberi amaran bahawa penganugerahan gelaran serta darjah kebesaran dari negeri itu bukan untuk dijual.

Kurniaan darjah kebesaran dan pingat dari Johor adalah yang paling sukar diperoleh, titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam temu bual eksklusif dengan Kumpulan Media Prima Bhd di Istana Flintstone, Mersing baru-baru ini.

Calon-calon perlu melalui proses penapisan yang ketat oleh kerajaan negeri, Jumaah Majlis Diraja Johor, anggota kerabat diraja Johor selain menyiasat latar belakang gaya hidup calon selain penapisan keselamatan oleh polis.

Sultan Ibrahim dilaporkan menyebut bahawa proses tapisan yang ketat telahpun dijalankan semasa pemerintahan Almarhum ayahandanya sambil menegaskan bahawa pengurniaan gelaran adalah lebih sukar semasa pemerintahan baginda sekarang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");