Membawang Hari Ini

J.Sham tampil dengan gaya tersendiri

PENYANYI era 1960-an yang cukup terkenal dengan lagu Suratku Untukmu, J.Sham menyifatkan penglibatannya dalam bidang nyanyian cukup istimewa meskipun pada masa sama bergelar tenaga pengajar sepenuh masa.

J.Sham mempunyai latar pendidikan secara formal dalam bidang muzik dan memiliki Ijazah Sarjana Pendidikan Muzik dari University of Brimingham, United Kingdom.

Bagaimanapun, tugas sebagai pendidik ternyata tidak pernah menghalang minatnya dalam bidang muzik, malah ketika ditugaskan mengajar di sebuah sekolah di Gemencheh, Negeri Sembilan, penyanyi ini mula menganggotai sebuah band muzik, The Wanderers sekitar tahun 1966.

“Ketika itu The Wanderers sudah popular dan mereka sedang mencari seorang penyanyi yang boleh menyanyi lagu-lagu Inggeris sesuai permintaan peminat pada masa itu. Kbetulan saya seorang guru Bahasa Inggeris.

“Dari situlah saya mula menyanyi dan membuat persembahan secara aktif bersama band dan menggunakan pengetahuan muzik saya sebaiknya,” ujar bekas pensyarah di Universiti Perguruan Sultan Idris ini.

J.Sham dan The Wanderers kemudiannya menyertai pertandingan nyanyian Muzik Muzik Muzik anjuran RTM dan berjaya bergelar naib juara pada 1967.

“Kejayaan di Stadium Merdeka itu cukup manis untuk dikenang kerana kami tidaklah begitu popular malah diberi gelaran sebagai ‘band kampung’.

“Tapi siapa sangka kelainan muzik The Wanderers berjaya mengalahkan band lain yang sudah pun merakamkan album,” imbasnya sambil tersenyum.

Bertitik tolak daripada kejayaan itu juga J.Sham dan The Wanderers kemudiannya ditawarkan merakam album dan dimulakan dengan rakaman live persembahan mereka ketika menyertai pertandingan tersebut di TV.

“Alhamdulillah, peminat ketika itu dapat menerima muzik kami. Bukan sahaja menerusi persembahan tetapi juga sambutan terhadap album yang kebanyakan lagunya ciptaan kami sendiri.

“Lagu Suratku Untukmu yang dirakamkan pada tahun 1968 membawa tuah mendapat sambutan sangat luar biasa dan menjadi lagu wajib pada setiap persembahan,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Antara lagu-lagu J.Sham yang turut mendapat perhatian ialah Di Pinggir Kali, Resam Dunia, Kelohan Gemala, Diam Diam, Patah Hati, Pertemuan Kita dan Seroja.

Aktif selepas bersara

Sepanjang bergelar artis rakaman, J.Sham atau nama lengkapnya Shamsuddin Jaafar sempat merakam 12 buah album termasuk dua piring hitam (LP) menerusi pelbagai lagu popular.

Menyentuh cabaran yang dilaluinya, kata J.Sham, pada era 1960-an bukan mudah untuk bakat baru menempatkan diri.

“Ketika itu kita perlu bersaing dengan bakat hebat lain selain peluang yang tidak banyak diperoleh.

“Kami bernasib baik dan mendapat laluan mudah selepas memasuki pertandingan di TV dan kalau bukan kerana itu, mungkin kami juga berdepan laluan sukar sebagaimana band lain.

“Jadi apabila mendapat peluang itu, baik saya mahupun artis yang lain cuba menonjolkan kelebihan masing-masing menerusi muzik yang dibawakan dan paling penting tampil dengan stail tersendiri,” tegasnya.

Biarpun sedang meniti populariti, J. Sham mengambil keputusan memperlahankan aktiviti nyanyiannya pada tahun 1973 dan berhenti dua tahun kemudian untuk memberi tumpuan kepada tugas.

“Tanggungjawab saya sebagai pensyarah adalah besar dan kemudiannya sebagai ketua jabatan di Maktab Perguruan Ilmu Khas dan ia menuntut komitmen yang sangat tinggi.

“Saya bukan saja mengajar tetapi terlibat dalam menyiapkan silibus untuk mata pelajaran muzik di sekolah dan sebagainya.

“Jadi banyaklah tawaran yang terpaksa ditolak sehingga ada satu ketika orang menganggap saya sombong kerana tidak dapat memenuhi permintaan mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, selepas bersara sekitar 1999, J. Sham kembali aktif dalam bidang seni dan bersama-sama rakan penyanyi era 1960-an yang lain.

Sebagai artis yang selalu dirindui peminat, dia sentiasa menerima tawaran persembahan.

“Ketika menyanyi semula selepas 13 tahun, saya ingat orang sudah lupakan J.Sham, tapi terkejut juga bila ramai lagi yang kenal dan tahu lagu Suratku Untukmu.

“Biarpun jarang muncul di kaca TV, kami sebenarnya tidak putus menerima tawaran persembahan di serata tempat termasuklah di pendalaman yang kadang-kala tidak terfikir mempunyai pengaruh muzik 60-an di sana.

“Begitu juga di pentas besar seperti Istana Budaya di mana hampir setiap tahun kami dijemput membuat konsert di sini dan saya kira ia seperti satu penghormatan buat kami,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");