Panasnya Hari Ini

Jangan Campur Aduk Sentimen Politik Dalam Usaha Banteras Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Ds Rosmah

“Jangan sesekali mempolitikkan usaha PERMATA dalam membanteras jenayah seksual kanak-kanak,”

Demikian amaran Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sesetengah pihak yang suka mencampuradukkan sentimen politik ke atas usaha-usaha PERMATA dalam memperkasakan dan juga membanteras jenayah yang melibatkan kanak-kanak.

“Jangan tanya saya berkaitan bajet dalam usaha ini. Isunya bukan wang yang dilaburkan sebaliknya usaha kita untuk membanteras jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak.

“Jangan kerana saya isteri Perdana Menteri, individu-individu ini mengkritik usaha saya dan menggunakan wang yang dilaburkan sebagai medium untuk menyuntik kebencian dalam aspek politik.

Sementara itu jelasnya, usaha untuk mendidik rakyat berkaitan Jenayah Seksual Kanak-Kanak perlu dilaksanakan di setiap peringkat bagi memastikan rakyat di semua kawasan mendapat didikan berkaitan isu itu.

Katanya, input yang diperoleh dari seminar tersebut perlu menular ke semua peringkat rakyat dan ia harus dilakukan secara agresif.

“Saya sarankan isteri menteri-menteri besar atau wakil rakyat perlu memperluaskan penganjuran seminar seperti ini kerana kita mahu rakyat walaupun di ceruk-ceruk kampung mendapat ilmu berkaitan jenayah seksual kanak-kanak.

“Masalah sosial seperti ini bukan hanya berlaku di bandar-bandar sebaliknya ia turut berlaku di kampung-kampung dan atas sebab itu bagi saya, didikan perlu diberikan kepada rakyat di kampung-kampung,” katanya.

Rosmah yang juga Penaung Program PERMATA berkata demikian ketika menyampaikan ucapan kesimpulan di Seminar Jenayah Kanak-Kanak: Hentikan!!!, hari ini.

Rosmah dalam masa yang sama turut menyatakan kesyukuran dengan maklum balas proaktif yang diberikan kerajaan melalui menteri-menteri yang terlibat berkaitan jenayah seksual kanak-kanak.

Katanya, sepanjang panel-panel mengadakan perbincangan input-input yang diberikan ternyata sangat proaktif dan banyak memberi penekanan kepada bagaimana jenayah itu boleh ditangani.

“Kepada ibu bapa, tanggungjawab dan pengawasan yang rapi kepada anak-anak perlu diketatkan. Awasi laman web yang dilayari anak-anak selain applikasi yang digunakan di telefon bimbit.

“Selain itu, anak-anak perlu diperkasakan supaya mereka boleh bertanggungjawab ke atas diri sendiri dan rakan sebaya.

“Saya harap, jenayah seksual tidak lagi dianggap taboo dan ibu bapa lebih berani melaporkan kejadian jenayah ini sekiranya berlaku ke atas anak-anak mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu katanya, bagi aspek agensi kerajaan pengendalian dan perkhidmatan perlu dikemaskini sejajar dengan perkembangan semasa.

Jelas beliau, semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha dan menggembleng tenaga mencari pendekatan terbaik dalam membanteras jenayah seksual kanak-kanak.

“Malah ada dicadangkan satu helpline diwujudkan bagi memudahkan mangsa-mangsa membuat laporan dan sekaligus mempercepatkan tindakan diambil.

“Apa-apa pun setiap individu perlu memberi usaha dan komitmen tertinggi dengan memperketatkan undang-undang atau sikap bagi mencegah dari jenayah ini berlaku atau untuk tujuan pemulihan,” katanya lagi.

 

 

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");