Sukan Hari Ini

Kebangkitan sang ratu

‘TIADA yang mustahil di usia 33 tahun.’

Itulah yang telah dibuktikan oleh ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David selepas merangkul kejuaraan Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) Ciudad de Floridablanca di Colombia hujung minggu lalu.

Memetik sumber Sinar Harian dalam perlawanan akhir, juara dunia lapan kali itu mudah mengetepikan cabaran pemain ranking ke-27 dunia, Olivia Blatchford dari Amerika Syarikat 11-3, 11-4, 11-8 sekali gus kejuaraan ke-81 Nicol daripada 101 aksi final dalam Jelajah PSA.

Ia turut mengakhiri kemarau satu tahun tiga bulan tanpa kemenangan selepas kali terakhir Nicol muncul juara ialah pada Disember 2015 ketika memenangi gelaran Terbuka Hong Kong.

Tahun lalu menjadi tahun paling malang buat juara dunia lapan kali itu apabila gagal mara dalam sebarang perlawanan akhir Jelajah PSA sekali gus menyaksikan rankingnya jatuh ke tangga ke-7 dunia.

Aksi paling istimewa

Biar pun ramai yang menganggap zamannya sudah berakhir, kemenangan ini berjaya membuktikan sebaliknya.

Dikatakan bergelut dengan masalah kecergasan dan aura kebangkitan pemain muda di seluruh dunia, ia tidak menjadi penghalang kepada Nicol untuk terus membuktikan kehebatannya di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, untuk mengakhiri kemarau kejuaraan, ia tidak datang dengan mudah.

Perlawanan akhir di El Santisimo statue itu terpaksa ditangguhkan selama 40 minit pada set ketiga ketika kedua-dua pemain terikat 6-6 akibat hujan lebat.

Walaupun rentak kemenangannya di set pertama dan kedua terganggu, nyata ia tidak menjejaskan mental Nicol untuk terus menoktahkan keputusan dengan kemenangan di set ketiga.

Bagi Nicol, kemenangan ini akan menjadi sesuatu yang istimewa di hatinya.

“Sudah tentu ini akan menjadi antara kejuaraan paling istimewa di hati saya dan yang akan paling diingati.

“Selain kemenangan pertama selepas lebih setahun, ini juga kemenangan pertama saya di Floridablanca.

“Ia benar-benar menjadi satu kepuasan apabila dapat kembali ke landasan kejuaraan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dalam memberi sokongan dan mereka yang bekerja keras memastikan kejohanan berlangsung dengan jayanya,” katanya.

Nicol turut menyifatkan kemenangan ini sebagai pembakar semangat bagi menghadapi Terbuka British di Hull pada 19 hingga 26 Mac ini.

Sementara itu, bagi lawannya Olivia Blatchford walaupun tewas, beliau turut menjadikan perlawanan ini sebagai sesuatu yang istimewa dan akan diingati.

“Dapat beraksi dengan seorang pemain skuasy terhandal di dunia adalah hadiah terbaik kepada saya.

“Pengalaman ini pasti tidak akan saya lupakan,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");