Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Tidak Bersungguh-Sungguh Realisasi Tahun Melawat Perak 2017- AMANAH

IPOH: Kerajaan Perak dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk merealisasikan program Tahun Melawat Perak 2017.

Susulan daripada itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak, Asmuni Awi menyatakan rasa bimbang parti berkenaan mengenai perkara itu.

Jelas beliau, perbandingan telah dibuat setiap tahun namun kelihatannya seperti tiada usaha yang jitu dari pihak kerajaan negeri untuk menarik pelancong-pelancong datang ke negeri Perak.

“Kerajaan negeri mensasarkan untuk membawa atau menarik seramai lapan juta pelancong untuk datang ke negeri Perak bersempena dengan program Tahun Melawat Perak yang telahpun bermula pada 1 Januari yang lalu.

“Tetapi setelah melakukan beberapa perbandingan, kami lihat seolah-olah tiada usaha yang jitu dilakukan oleh pihak kerajaan negeri.

“Saya juga ada menerima maklum balas dari pengunjung yang datang ke negeri Perak, mereka mengatakan negeri Perak ini hanyalah sebagai tempat persinggahan untuk mereka menikmati kepelbagaian jenis makanan sahaja. Tiada apa yang istimewa untuk mereka lihat atau dilawati,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Asmuni juga berkata, jika hendak dibandingkan negeri Perak dan negeri-negeri lain, Perak tidak mempunyai sebarang tempat atau kawasan yang boleh menjadi ikon untuk menarik pelancong.

“Kalau kita lihat di negeri Kedah mereka ada Kota Kuala Muda, di Melaka ada Kota A Famosa dan Selangor mereka ada Bukit Melawati.

“Tempat-tempat ini merupakan tempat bersejarah dan menjadi tarikan pelancong serta dipelihara oleh kerajaan negeri masing-masing. Di Perak ini sebenarnya dimanakah tarikannya?,” ujar beliau.

Menurut beliau, jika dinilai dari konsep sejarah, Perak merupakan negeri yang terkenal di mata dunia pada suatu ketika dahulu sebagai negeri pengeluar bijih timah dan satu-satunya kapal korek yang masih ada di sebuah lombong di Tanjung Tualang, Batu Gajah dilihat mampu menjadi tarikan pelancong sekiranya dipromosikan dengan baik.

“Kapal korek ini boleh dijadikan satu tarikan pelancong sekiranya ia dipromosikan dengan baik, kawasan sekitarnya dipelihara dengan baik dan kondisi kapal tersebut haruslah dalam kondisi yang baik untuk dilawat oleh para pelancong. Tetapi apa yang ada pada hari ini, kondisi kapal korek tersebut berada pada kondisi yang tidak baik dan menyedihkan seperti tidak dijaga.

“Pada tahun 2012, peruntukkan sebanyak RM 420 ribu telah diberi untuk kerja-kerja mengapungkan kapal tersebut dan pada tahun 2016 peruntukkan sebanyak RM 30 juta telah diberi untuk kerja-kerja membaiki kapal Tanjung Tualang 5 (TT5) tersebut.

“Apa benda yang mereka buat selama ini? Sejak dari tahun 2012 tiada sebarang perubahan atau kerja naik taraf. Kenapa kuasa pengambil alihan kapal ini diberi kepada Menteri Besar Incorporated (MB Inc)? Apakah kepakaran mereka? Kenapa tidak diberikan saja kepada Jabatan Pelancongan atau Jabatan Muzium?

“Saya mohon kerajaan negeri kaji balik dan lakukan sesuatu kerana kita bimbang sekiranya kapal ini tenggelam kita akan kehilangan satu tapak warisan sejarah,” katanya.

Asmuni turut menyuarakan rasa kecewanya berikutan kondisi yang teruk di Kompleks Sejarah Pasir Salak.

“Kompleks Sejarah Pasir Salak merupakan tempat sejarah tanahair kita ketika zaman penentangan penjajah. Tetapi hari ini keadaan di sana amat menyedihkan. Tarikan utama seperti Kediaman Dato’ Sagor, Kediaman Dato’ Maharaja Lela turut terbiar dan tidak dijaga.

“Rumah Kutai sudah tidak boleh dikunjungi dan Galeri MB juga telah ditutup kerana keadaannya bahaya dan tidak dijaga,” katanya sambil menunjukkan gambar-gambar yang diambilnya di sana.

 

Menurut Asmuni juga, beliau berharap agar Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir lebih bersikap sensitif mengenai isu-isu ini kerana dua tapak warisan ini mampu menjadi tarikan utama pelancong yang mampu membantu memberi pendapatan kepada penduduk tempatan dan dapat memastikan nilai sejarah tidak luput ditelan zaman.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");