Isu Panas

Kerajaan tiada kesungguhan bela nasib nelayan

KUALA LUMPUR – Nasib golongan nelayan yang tidak terbela sehingga kini adalah bukti bahawa kerajaan tidak ada kesungguhan dalam membantu golongan tersebut.

Memetik sumber Sinar Harian, Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, menerusi kajian, masih ramai di kalangan nelayan khususnya di Terengganu memiliki pendapatan di bawah taraf kemiskinan iaitu RM400 sebulan.

“Selepas 60 tahun kemerdekaan negara, nasib nelayan masih tidak terbela.

“Kerajaan bukan sahaja tidak memiliki idea dan kesungguhan, malah apabila kami memberi cadangan untuk dipertimbangkan mereka perlekehkan dan kata kami pula bermain ‘wayang’,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Katanya, beberapa soalan berkaitan masalah yang dihadapi para nelayan yang diajukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga tidak dijawab dengan profesional.

“Soalan mengenai keselamatan nelayan, tindakan terhadap nelayan yang melanggar zon perikanan dan yuran RM1,500 kepada pekerja nelayan asing semuanya tidak dijawab dengan jawapan yang sepatutnya.

“Dalam isu ini, kementerian seharusnya lebih profesional bukannya menuduh sambil menuntut bukti-bukti segera daripada kami,” katanya.

Pada masa sama beliau mengatakan tindakan kementerian tersebut yang meminta para nelayan dengan inisiatif sendiri mengambil gambar insiden-insiden haram adalah tidak praktikal .

“Sebelum ini cadangan kami supaya menggunakan drone untuk menjalankan pemantaun telah diterima untuk dikaji.

“Tetapi apabila menterinya, Datuk Ahmad Shabery Chik tidak boleh menerima teguran saya mengenai kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan, beliau mula menuduh cadangan kami adalah ‘wayang’,” ujarnya.

Beliau berkata, setelah sekian lama isu ini menemui kegagalan, akhirnya wakil-wakil nelayan sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan.

“Saya percaya masalah tiada kesungguhan daripada kerajaan adalah masalah utama dalam isu ini. Sudah beberapa menteri gagal menangani isu-isu tersebut dan ianya adalah masalah lama.

“Para nelayan juga sudah tidak ada kepercayaan bahawa kerajaan akan menyelesailan masalah mereka. Mungkin juga mereka tidak lagi berminat mendengar janji kosong dan alasan lapok kerajaan dan menterinya,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");