Berita Hari Ini

Korea Utara: Najib berbesar hati sokongan semua pihak

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini memuji rakyat Malaysia yang sama-sama berdiri menyokong teguh usaha kerajaan menyelesaikan krisis diplomatik dengan Korea Utara.

Najib berkata, sokongan daripada rakan-rakan kerajaan dan pihak pembangkang adalah sikap terbaik sebagai rakyat Malaysia yang bersatu padu dan tidak bermain politik apabila berkait soal negara dan kedaulatannya.

“Alhamdulillah, setelah selesai proses rundingan, kesemua rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara kini telah selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing di tanah air tercinta, Malaysia.

“Sepanjang dugaan yang kita alami kali ini, sepertimana dugaan yang pernah kita tempuhi suatu ketika dahulu, saya tidak pernah hilang keyakinan bahawa kita sebagai sebuah negara mampu menghadapinya bersama,” katanya dalam catatan bertajuk “Di Sebalik Dugaan” di laman blog www.najibrazak.com hari ini.

Awal pagi ini, sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara susulan perbalahan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang, selamat tiba di tanah air.

Ketegangan Malaysia dan Korea Utara timbul berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.

Jong-nam, 46, dibunuh menggunakan agen saraf VX, oleh dua wanita asing semasa menunggu penerbangan pulang ke Macau di klia2.

Perdana Menteri berkata, pujian juga harus diberikan kepada para pegawai kerajaan termasuk para perunding, pegawai kedutaan, diplomat, pegawai kesihatan, pihak polis dan lain-lain yang telah memberikan usaha terbaik mereka di sebalik tabir.

“Alhamdulillah, hasil usaha mereka, kesemua rakyat Malaysia yang kita usahakan untuk dibawa pulang, telah pulang dengan selamat. Itu yang paling penting.

“Kita tidak akan tinggalkan sesiapa, dan apabila saya menyebut ‘kita’, saya yakin bahawa saya berbicara untuk kesemua 31 juta rakyat Malaysia,” katanya.

Pergeseran diplomatik timbul apabila Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia mengenai cara ia mengendalikan kes itu, yang mengakibatkan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai persona non grata (PNG).

Kang Chol meninggalkan Kuala Lumpur pada 6 Mac lepas.

Korea Utara bertindak balas dengan mengusir Duta Malaysia di Pyongyang.

Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.

Perdana menteri berharap peristiwa yang berlaku ini akan menjadi pemangkin untuk rakyat Malaysia terus berdiri teguh di belakang bendera negara, Jalur Gemilang.

“Berikan sokongan kepada negara tercinta pada setiap masa – bukan hanya ketika masalah atau dugaan melanda.

“Ingat dan peganglah dalam dada, inilah bumi bertuah tempatku lahir, inilah di mana aku akan disemadikan, inilah kebanggaanku. Inilah Negaraku, Malaysia,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");