Sukan Hari Ini

Lawan Di Laman Sendiri: Tuah Atau Perangkap

Piala Dunia 2014 Brazil pernah dicanang sebagai antara kejohanan yang menjanjikan aksi terhebat pasukan digelar raja bola sepak dunia.

Bagaikan sirih pulang ke gagang, aksi Brazil di laman sendiri, dengan sokongan padu tuan rumah pastinya akan memacu pasukan itu muncul juara, menebus kekecewaan tewas kepada Uruguay pada final edisi 1950.

Namun apa yang berlaku sebaliknya. Bukan saja jauh tersasar daripada gelaran juara apabila menduduki tangga keempat kejohanan, malah mereka mencatat kekalahan terburuk sepanjang penyertaan dalam Piala Dunia, tumbang 1-7 kepada Jerman pada aksi separuh akhir.

Lebih mendukacitakan, bintang utama mereka, Neymar pula mengalami kecederaan tulang belakang apabila terkena lutut pemain Colombia Juan Camilo Zuniga pada aksi suku akhir dan hanya mampu menyaksikan pasukan negaranya terus dimalukan.

Apakah yang sebenarnya berlaku? Mungkinkah aksi di laman sendiri yang sepatutnya menjanjikan kelebihan bertukar pula menjadi ‘perangkap’ yang akhirnya mengakibatkan kekalahan?

Ketua Sukan Berpasukan Bahagian Prestasi Tinggi Institut Sukan Negara (ISN) Mohd Syahrul Nizam Mohd Johar tidak menafikan wujud juga impak negatif apabila beraksi di laman sendiri tetapi kesannya tidak sebesar kelebihan yang sepatutnya boleh dimanfaatkan.

“Salah satunya adalah apabila beraksi di laman sendiri, tekanan untuk mempamerkan prestasi terbaik begitu tinggi kerana tidak mahu menghampakan peminat dan harapan jurulatih,” kata Syahrul.

“Ada ketika atlet akan hilang fokus kerana mereka lebih cenderung menarik perhatian atau mengagumkan orang ramai sehingga terlupa apa yang sepatutnya dilakukan iaitu mempamerkan aksi terbaik.

“Perkara ini biasanya berlaku kepada atlet baru, muda dan kurang berpengalaman. Mereka akan cepat rasa teruja tapi pada masa sama akan cepat berasa bimbang, bagaimana untuk bermain dengan baik.

“Selain itu juga, situasi apabila seseorang atlet atau sesebuah pasukan terlalu yakin atau memandang rendah kemampuan pihak lawan juga boleh memberikan kesan negatif kepada pasukan. Lantaran kerana terlalu yakin, atlet akan leka dan membuka ruang dan peluang untuk pihak lawan mengambil kesempatan.”

Selain itu juga, tekanan media tempatan apatah lagi pada era media sosial kini boleh menjadi ancaman buat atlet bertanding di laman sendiri.

Menurut Syahrul, kebimbangan keterlaluan atlet terhadap reaksi media sebelum dan selepas kejohanan boleh mengundang tekanan.

“Sebagai contoh, apabila sebelum kejohanan, mereka sudah digembar-gemburkan media akan memberikan keputusan baik, akhirnya perkara ini mendatangkan perasaan bimbang dan gementar tidak dapat mempamerkan aksi seperti dilaporkan,” kata beliau.

Terdapat juga situasi, menurut beliau apabila hadirnya begitu ramai ‘jurulatih’ apabila beraksi di laman sendiri.

Apa yang dimaksudkan beliau adalah situasi di mana kehadiran ibu bapa, rakan, penyokong atau pengurus pasukan yang lebih banyak memberi arahan dan komen berbanding jurulatih. Keadaan ini ini boleh mengganggu konsentrasi dan ketenangan semasa beraksi.

Namun tidak dinafikan kelebihan beraksi di tempat sendiri juga memberikan sedikit kelebihan kepada pihak tuan rumah memanipulasi keadaan untuk merendahkan semangat lawan.

Jelas Syahrul dalam hal ini, salah satu contohnya tekanan dan aksi dari penyokong boleh mengganggu tumpuan lawan dan mempengaruhi mutu pengadilan, keputusan pengadil mungkin berubah dan memihak tuan rumah.

Terdapat kajian yang menyatakan pegawai pertandingan atau pengadil perlawanan berkecenderungan memihak kepada pasukan tuan rumah dalam membuat keputusan berdasarkan faktor itu.

“Pada masa sama tuan rumah mungkin boleh mengambil kesempatan untuk mendapatkan kelebihan dari segi teknikal seperti menerusi undian, kedudukan kumpulan, masa perlawanan dan pemilihan venue. Malah sehinggakan penetapan jersi/baju pertandingan juga mampu memberikan sedikit kelebihan untuk pasukan tuan rumah.”

Menurut pandangan beliau, bagi memastikan atlet meraih kelebihan di tempat sendiri, mereka perlu lebih awal membiasakan diri dengan keadaan padang, gelanggang dan kemudahan disediakan, jauh lebih awal daripada lawan.

“Selain itu gunakan kesan atau aura penyokong sebagai tenaga untuk mempamerkan aksi lebih baik. Kita boleh lihat sebagai contoh bagaimana pasukan luar di Liga Perdana Inggeris menjadikan stadium dan penyokong sebagai kubu keramat dan pemain ke-12 yang mendorong pasukan untuk mempamerkan prestasi cemerlang dan mencapai kemenangan.

“Bagaimanapun, apa yang dinyatakan ini adalah faktor sampingan dalam peningkatan prestasi. Paling utama adalah persediaan fizikal dan mental atlet itu sendiri dalam memberi komitmen ketika latihan dan sepanjang tempoh persediaan menuju ke sesebuah kejohanan atau pertandingan.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");