Berita Hari Ini

Malaysia hadir mesyuarat tentang Daesh

PUTRAJAYA – Malaysia akan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Pakatan Global bagi menangani penularan pengaruh kumpulan militan Daesh di Washington, Amerika Syarikat, Rabu ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat yang dihoskan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson.

Wisma Putra, dalam kenyataan hari ini, berkata Anifah dijangka berucap mengenai ancaman semasa Daesh daripada perspektif negara dan serantau, selain canaran serta langkah pencegahan pada mesyuarat yang akan disertai oleh 68 negara lain.

“Beliau akan turut berkongsi pengalaman Malaysia dan idea-idea menangani keganasan serta mencegah ekstremisme melampau,” katanya.

Wisma Putra berkata mesyuarat itu dijangka mengenal pasti mekanisme terbaik menghalang Daesh daripada terus melancarkan serangan yang mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa yang tidak berdosa di seluruh dunia.

Mesyuarat tersebut juga akan memberi tumpuan terhadap usaha mengekang penularan ideologi melampau menerusi naratif palsu oleh kumpulan pengganas itu, menurut kenyataan itu.

Selain itu, ia berkata, mesyuarat itu juga akan membincangkan isu-isu seperti keperluan mendesak bantuan kemanusiaan, pembersihan jerangkap samar serta bantuan penstabilan wilayah yang pernah ditawan oleh Daesh di Iraq dan Syria.

Wisma Putra berkata penyertaan Anifah pada mesyuarat itu mengesahkan sokongan dan komitmen Malaysia dalam kempen Pakatan Global untuk mengalahkan Daesh.

“Malaysia percaya bahawa kerjasama antarabangsa menerusi inisiatif multilateral seperti ini adalah kritikal dan telah menjadi salah satu komponen penting dalam strategi Malaysia memerangi keganasan,” katanya.

Selain menghadiri mesyuarat itu, Anifah juga akan mengadakan pertemuan dengan Tillerson buat kali pertama bagi membincangkan isu kepentingan bersama serta perkembangan serantau dan global.

Pertemuan tersebut adalah signifikan memandangkan ia adalah lawatan kerja pertama Anifah ke Amerika Syarikat di bawah pentadbiran baharu, Presiden Donald Trump, katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");