Berita Hari Ini

Mayat Kim Jong-nam Disahkan

Polis mengesahkan warga Korea Utara Kim Chol yang dibunuh di negara ini 13 Feb lepas sebenarnya adalah Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini namun beliau enggan menyatakan cara pengesahan identiti muktamad mayat itu dibuat demi keselamatan saksi-saksi.

“Saya tidak akan beri penjelasan lanjut macam mana caranya (sahkan identiti Jong-nam), demi keselamatan saksi-saksi, saya tidak akan beri apa-apa penjelasan, jadi kini kami telah selesai (jalankan penyiasatan) ke atas di mati,” katanya.

Jelasnya, pihak polis akan menyerahkan mayat Jong-nam kepada Kementerian Kesihatan untuk urusan seterusnya kerana tidak ada waris yang menuntutnya setakat ini.

Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) ketika menunggu penerbangan untuk ke Macau.

Beliau diserang dua wanita yang menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka mengandungi bahan yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama ‘Kim Chol’, meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Putrajaya.

Khalid berkata pihak polis telah selesai dalam siasatan terhadap mayat Jong-nam.

“Kita akan serahkan kepada Kementerian Kesihatan oleh sebab tiada yang tuntut mayat itu,” katanya.

Ditanya adakah mayat Jong-nam akan diserahkan kepada pihak Korea Utara, Khalid berkata mengikut peruntukan undang-undang negara ini hanya waris kepada si mati sahaja yang boleh menuntut sesuatu mayat di mana-mana hospital di Malaysia.

“Undang-undang kita hanya membenarkan kita mengembalikan mayat, diserah kepada waris, pada ahli keluarga, oleh kerana tidak ada ahli keluarga yang menuntut, kita serahlah kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan mereka selanjutnya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");