Berita Hari Ini

Najib dapatkan input ekonomi

PUTRAJAYA 24 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bertemu peserta industri utama dan persatuan-persatuan perniagaan pada dialog meja bulat ekonomi di sini untuk mendapatkan maklumat balas, input dan idea mengenai isu-isu ekonomi negara.

Najib yang juga Menteri Kewa­ngan dalam ucapannya berkata, beliau mahu mendengar sendiri dan mengambil pandangan mereka bagi membolehkan kerajaan menangani isu-isu berkenaan.

“Kita berjumpa untuk membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dasar-dasar kerajaan, bukan sahaja dalam konteks jangka pendek tetapi dalam jangka panjang ke arah TN50 (Transformasi Nasional 2050) yang mana kita mahu Malaysia terus membangun dan berjaya sebagai 20 negara terbaik,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, tumpuan perlu diberikan terhadap inflasi dan kos sara hidup yang tinggi menjadi rungutan dalam kalangan rakyat.

Walaupun ramai yang meru­ngut, Najib berkata, satu kajian baru-baru ini mendapati Kuala Lumpur adalah bandar raya pa­ling murah di ASEAN.

Najib berkata, asas ekonomi Malaysia adalah baik, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai 4.2 peratus tahun lepas.

“Menurut laporan Bank Negara semalam, kita akan memperoleh 4.3 peratus dan ke atas, mungkin di bawah sedikit daripada lima peratus pada tahun ini.

“Ini adalah jangkaan kita untuk tahun ini dan 2018, (KDNK Malaysia) akan mencatat prestasi yang lebih baik jika tiada sebarang perkembangan yang tidak dijangka,” katanya.

Dalam pada itu, Najib mengi­ngatkan peserta industri bahawa negara masih perlu menambah baik produktiviti dan isu-isu seperti hutang isi rumah yang pada masa ini pada 89 peratus daripada KDNK.

Beliau berkata, kadar produktiviti negara perlu meningkat kepada empat peratus setiap tahun dari paras semasa 2.3 peratus.

Najib juga berkata, beliau memerlukan input dan idea berkaitan bagi menjadikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih berdaya saing dan memba­ngunkan digital ekonomi, sebagai contoh Digital Malaysia.

Menurut Najib, beliau percaya terhadap tiga prinsip seperti yang dinyatakan dalam ucapannya ketika Forum Transformasi Global (GTF) 2017 pada Rabu lalu meliputi pembangunan modal insan; kesalinghubungan dalam infrastruktur, internet dan ruang siber; serta keterangkuman.

“Saya yakin tiada rakyat Malaysia yang akan tercicir. Itulah tiga prinsip yang saya percaya dan harus menjadi sebahagian daripada dasar kita untuk me­langkah ke hadapan,” katanya.

Najib berkata, projek-projek ikonik seperti Lebuh Raya Pan Borneo, kereta api berkelajuan tinggi, laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia boleh membawa perubahan di Malaysia.

“Dalam masa beberapa tahun, saya percaya landskap akan berbeza dan kita akan menyaksikan projek-projek ikonik ini dilaksa­nakan,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");