Jenayah

Padah buat laporan palsu kejadian samun, ragut

KULAI – Lima terima padah apabila masing-masing dijatuhkan hukuman denda RM1,000 hingga RM1,500 selepas didapati bersalah oleh mahkamah majistret, di sini, kerana membuat laporan polis palsu berhubung kejadian samun dan ragut.

Mereka dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Ahmad Farid Ahmad Kamal.

Dua tertuduh, C Rajeswary, 27, dan C Thilagam, 32, didenda RM1,500.

Tiga lagi tertuduh, Mohd Iman Zikri Abdullah, 20; Lam Jun Hua, 24; dan Anchai Panting, 28, masing-masing didenda RM1,000.

Semua tertuduh didakwa memberi maklumat palsu kepada pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai antara 19 Februari hingga 2 Mac lalu.

Mengikut fakta kes, sepanjang tarikh berkenaan, empat tertuduh didakwa membuat laporan palsu disamun dan diragut oleh individu tidak dikenali di sekitar daerah Kulai untuk mendapatkan alasan membuat semula dokumen pengenalan diri tanpa dikenakan penalti oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Seorang lagi tertuduh, Mohd Iman Zikri pula membuat laporan palsu bagi mendapatkan alasan untuk mengelak daripada membayar hutang selepas membeli barangan secara atas talian.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Farhana Adham manakala kelima-lima tertuduh diwakili peguam bela Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Harryzan Abdullah.

Ahmad Farid turut mengarahkan semua tertuduh dipenjara selama tujuh hari jika gagal melunaskan denda berkenaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");