Membawang Hari Ini

Page tak sempat siapkan karya akhir

Mereka yang berusia 40 tahun ke atas, pastinya mengenali penyanyi Tommy Page dan lagu popularnya, A Shoulder To Cry On dan I’ll Be Your Everything.

Memetik sumber laporan Harian Metro,penyanyi dari New Jersey, Amerika Syarikat itu lahir pada 24 Mac 1970 pernah menjadi kegilaan remaja pada awal 1990-an. Namanya dikenali di Asia apabila menjadi artis di bawah label PonyCanyon dan menghasilkan album khas untuk pasaran Asia, A Friend To Rely On pada 1992.

Page juga berduet dengan Sally Yeh kemudian dengan penyanyi Malaysia, Amy Mastura, The Best Part pada 1996 untuk album Loving You. Page juga pernah menjayakan Minggu Setiausaha di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, agak lama juga tidak mendengar perkembangan terkini Page, tiba-tiba dikejutkan dengan berita kematiannya pagi Sabtu lalu.

Usianya baru 46 tahun dan ditemui mati di kediamannya dipercayai membunuh diri. Tekanan emosi atau depresi dikatakan menjadi penyebab dan ia mengejutkan bukan saja peminat, malah kawan baik dan rakan sekerja.

Page atau Thomas Alden Page memiliki profil karier hebat bukan saja kejayaan menghasilkan tujuh album studio dan satu album kompilasi. Malah membantu memulakan kerjaya ramai artis ternama seperti Alanis Morissete, Michael Buble dan Green Day.

Graduan Universiti New York itu juga adalah Naib Presiden Usahasama Muzik untuk rancangan realiti The Voice, selain seorang peneraju di Pandora, stesen radio dalam talian. Page juga penerbit majalah hiburan terkemuka, Billboard.

Masalah depresi dialaminya sejak 2000 kerana berasa gagal untuk terus berkarya. Album Ten ‘Til Midnight dilancarkan pada 2000 dan hanya dijual melalui dalam talian.

Awal 2017, Page kembali menulis lagu dan dikongsi di laman Twitternya pada 6 Januari mengatakan sedang menulis lagu dan masih ada yang belum diketahui umum mengenai dirinya.

Seminggu kemudian berkongsi fotonya bersama piano dengan kapsyen ‘writing’ tetapi sayangnya ia tidak sempat direalisasikan.

Mengenang kematian Tommy Page, berikut beberapa fakta kehidupannya yang dikumpul daripada pelbagai sumber.

Pernah bekerja di kelab popular di New York, Nell ketika berusia 16 tahun dan sering melayani selebriti terkenal seperti Whitney Houston, Rob Lowe dan Beasty Boy. Dia memberikan demo muziknya kepada DJ di kelab itu dan dimainkan di situ.

Mula jadi penyanyi ketika usia 18 tahun apabila diminta menulis lagu untuk filem Shag. Page muncul dengan album judul namanya pada November 1988 memuatkan lagu Turning Me On, I Think I’m In Love dan A Shoulder To Cry On.

Pernah muncul untuk persembahan pembukaan konsert New Kids On The Block (NKOTB) dan Tiffany kemudian menghasilkan lagu I’ll Be Your Everyhting kolaborasi dengan anggota NKOTB, Jordan Knight dan Danny Wood. Pada mulanya mahu diberikan kepada NKOTB tetapi kemudian memutuskan untuk menyimpannya buat diri sendiri.

Album Painting In My Mind bersama Sire Records dilancarkan pada April 1990 dengan lagu hits, I’ll Be Your Everything dan mengungguli carta Billboard 100. Lagu lain, When I Dream Of You dan Turn On The Radio (juga kolaborasi dengan NKOTB).

Tahun lalu menjayakan konsert Up Close & Personal With Tommy Page di Solo, Indonesia (3 Jun 2016) dan turut berduet dengan Diva Indonesia, Titi DJ.

Kisah cintanya menjadi rahsia dan misteri sampai akhir hayat. Peminat mengetahui Page sebagai bapa penyayang kepada tiga anak bersama pasangannya, Charlie tetapi umum tidak tahu siapa sebenarnya Charlie.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");