Isu Panas

PAS Umpama Hidup Segan Mati Tak Mahu

Semakin lama, PAS dilihat semakin hilang arah tujuan dan ia dibuktikan melalui kenyataan-kenyataan pemimpin PAS kebelakangan ini.

Tidak menang pilihan raya tak apa

Memang agak pelik bila Mursyidul Am PAS Hashim Jasin baru-baru ini menegaskan bahawa parti tersebut tidak meletakkan kemenangan dalam pilihan raya sebagai matlamat utama perjuangan.

Beliau dipetik sebagai berkata:

“Mencapai kemenangan yang dihitung semata-mata dengan memenangi pilihan raya ertinya matlamat perjuangan kita sangat singkat dan terhenti di pelabuhan dunia….

“Kita tidak akan mencapai apa-apa kejayaan atau kemenangan sekiranya kita tidak dapat melaksanakan dasar dan tujuan sebenar kewujudan parti kita, apatah lagi tujuan penciptaan kita!”

Kenyataan ini sangat membingungkan, kerana bagaimanakah sesebuah parti ingin menegakkan ideologi dan menterjemahkannya kepada dasar kerajaan jika tidak memenangi pilihan raya terlebih dahulu?

Pada masa yang sama, ia juga tidak mencerminkan realiti sejarah dan perjuangan PAS selama ini.

Tiada kerjasama dengan parti ‘liberal’, ‘sekular’

Hashim dalam masa sama turut menyatakan PAS tidak akan sekali-kali bekerjasama dengan mana-mana parti yang menegakkan dasar liberal dan sekular. Atau lebih tepat, PKR dan DAP.

Kenyataan ini juga menimbulkan banyak persoalan dan kekeliruan kerana jika DAP dengan prinsip sekular dan demokrasi sosial begitu jijik, kenapa boleh PAS berganding bahu dengan DAP, bukan seketika tetapi selama 10 tahun dalam dua gabungan berbeza?

Kenapa Datuk Seri Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri boleh memuji dan pertahankan DAP pada ketika itu?

 

Kini, Umno dipuji dan DAP pula yang dimomokkan.

Nik Aziz sendiri ketika hayatnya berkali-kali mempertahankan kerjasama dengan DAP.

 

Bagaimana pula PAS boleh mempertahankan keputusan tidak mahu bekerjasama dengan parti sekular dan liberal atas dasar prinsip apabila PAS sehingga kini masih kekal dalam kerajaan negeri Selangor yang turut dianggotai DAP?

Pada masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri tunggal PAS di Pulau Pinang pula lantang menyuarakan sokongannya terhadap kerajaan Pakatan Harapan di negeri tersebut.

Adakah pendirian ini juga atas dasar prinsip? Apakah benar menegakkan Islam?

Lebih mencurigakan lagi, jika benar mahu berpegang kepada prinsip Islam, mengapa Hadi melindungi dan mempertahankan Najib dalam skandal kewangan 1MDB apabila sudah sah berlaku penyelewengan berskala besar?

Sedangkan umum mengetahui rasuah adalah salah satu perlakuan yang paling keji dalam Islam.

Dalam isu hudud pula, Hadi sendiri maklum bahawa Umno selama ini tidak pernah berminat untuk menyokong agenda tersebut dan hanya baru-baru ini sahaja bersetuju apabila keadaan sudah terdesak dan sokongannya berkurangan.

Namun, Hadi pula dengan pantas membela Umno kononnya bukan hak kita untuk mengukur tahap keikhlasan seseorang.

Apakah Hadi terlalu naif atau tidak mahu mengiktiraf realiti? Sememangnya keikhlasan itu bukan hak kita untuk tentukan tetapi kita boleh menilai berdasarkan sikap seseorang itu.

 

PAS sebagai apa?

PAS sebagai antara parti utama negara dengan sejarah perjuangan yang mulia tidak harus berpuas hati dengan peranan sampingan kepada Umno semata-mata.

Menyedihkan untuk melihat arah tuju PAS bawah kepimpinan terkini, lagi-lagilah apabila mereka seolah-olah bersedia untuk mengorbankan prinsip yang lama dipegang.

Apabila PAS bercakap soal mendapat keredhaan Allah dan pembalasan akhirat yang lebih baik dan menolak kemenangan pilihan raya sebagai pertimbangan strategi, mengapa PAS tidak meninggalkan sahaja perjuangan melalui pilihan raya dan menjadi jemaah tabligh atau tarekat sufisme sahaja?

Sesungguhnya, sebuah parti politik harus bermatlamat untuk memberi impak terhadap dasar negara.

Sementara kita tidak pernah menolak perlunya perubahan jati diri dan pembangunan masyarakat, namun bagi parti politik, jalannya adalah dengan mengubah dasar negara ke arah yang lebih insani, manusiawi dan adil kepada semua.

Jika PAS tidak lagi memiliki wawasan ini, maka apa gunanya menggelarkan diri sebagai parti politik?

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");