Berita Hari Ini

Pekeliling Jabatan Penerangan: PRU14 Makin Dekat?

Di sebalik spekulasi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin dekat ekoran penularan surat pekeliling Jabatan Penerangan (JaPen), Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman menjelaskan, makluman itu hanya satu peringatan rutin supaya kakitangannya bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum.

Ketika timbul tanggapan dan andaian banyak pihak terutama di kalangan kakitangan awam bahawa pekeliling itu sekali gus menandakan PRU14 tidak lama lagi, tegas beliau, kandungannya tidak merangkumi anggota perkhidmatan agensi-agensi lain.

Ibrahim mengakui pekeliling dalaman yang dimaksudkan dikeluarkan oleh beliau sendiri.

“Gambar surat pekeliling yang sedang tular di media sosial adalah pekeliling dalaman yang saya keluarkan khas kepada anggota JaPen mengenai cuti persendirian atau urusan peribadi ke luar negara sebagaimana yang diperuntukkan dalam Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2014 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam,” kata beliau.

Tambah beliau, surat pekeliling tersebut memerlukan semua anggota kerajaan memohon kelulusan untuk ke luar negara sama ada tugas rasmi atau pun bercuti persendirian atau urusan peribadi.

Surat pekeliling dalaman JaPen bertarikh 28 Februari 2017 adalah peringatan cuti ke luar negara persendirian atau urusan peribadi bagi mengelakkan anggota agensi itu menempah tiket penerbangan untuk ke luar negara dalam waktu kakitangannya diperlukan untuk memberikan tumpuan kepada aktiviti jabatan dan program rasmi kerajaan, jelas beliau.

Katanya lagi, JaPen, salah satu agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, terlibat dalam aktiviti utama negara seperti perayaan Hari Kebangsaan, Sukan SEA, pertabalan Yang di-Pertuan Agong serta aktiviti advokasi, keterlibatan serta pemasaran maklumat dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

Oleh itu kata beliau, adalah tanggungjawab JaPen sejak dahulu membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan demokrasi berjalan lancar melalui kempen keluar mengundi, pendidikan tatacara dan kaedah mengundi dalam media dan komunikasi bersemuka menjelang PRU14.

Di samping itu, ujar Ibrahim, tanggungjawab hakiki JaPen untuk menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan juga dibuat secara berterusan.

“Menjadi kelaziman juga surat pekeliling ini dikeluarkan setahun sebelum tamat tempoh Parlimen bagi mengingatkan seluruh anggota JaPen agar bersiap sedia menghadapi PRU apabila diisytiharkan kelak,” katanya lagi.

Mandat semasa Parlimen akan berakhir pertengahan tahun 2018. Pun begitu ramai meramalkan PRU14 akan diadakan tahun ini, kemungkinan akhir tahun.

Surat pekeliling dalaman ini juga menurut beliau, dikeluarkan kerana ada anggota JaPen yang menempah tiket kapal terbang setahun lebih awal dari tarikh penerbangan mereka bagi mendapat tambang murah dan apabila cuti mereka tidak diluluskan, mereka merayu dengan memberi alasan bahawa tiket telah ditempah dan tidak boleh ditunda tarikhnya.

Atas kesibukan tugas dan banyaknya program rasmi jabatan dan kerajaan, maka surat pekeliling membekukan cuti persendirian ke luar negara dikeluarkan khas untuk anggota JaPen sahaja, kata beliau.

“Ia tidak melibatkan semua penjawat awam sepertimana ditularkan,” kata beliau sambil menambah, “namun surat pekeliling ini tidak menyentuh cuti dalam negara yang masih boleh dimohon melalui Ketua Bahagian atau Pengarah masing-masing.”

“Pembekuan ini tidak melibatkan mereka yang mendapat tawaran menunaikan fardhu haji atau umrah dan keperluan ke luar negara tertentu masih boleh dipertimbangkan mengikut merit permohonan mereka contohnya kematian keluarga terdekat di luar negara,” katanya.

-FMT-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");