Jenayah

Pengurus kanan PETRONAS bebas hukuman penjara

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan bekas pengurus kanan PETRONAS berdasarkan kepada keterangan saksi pendakwaan yang memihak kepada perayu yang disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen pada 2015.

Berikutan itu, Hakim Datuk Azman Abdullah, mengetepikan sabitan serta hukuman empat tahun penjara dan denda RM2 juta ke atas Idris M Shuhud, 51, yang menghadapi lapan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Idris bagi mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen pada 6 Februari 2015.

Terdahulu, Azman dalam penghakimannya berkata, keterangan saksi pendakwaan ke-18, Pengarah Penaga Orbit dan Genius Response, Kamaruddin Mohd Daud, nyata memihak kepada tertuduh.

“Bukti bayaran yang dibuat menggunakan cek kebanyakannya melalui peguam adalah sangat kukuh untuk menjuruskan bahawa jika terdapat niat bagi menerima dan memberi rasuah, ia sudah tentu dilakukan secara tunai.

“Sehubungan itu, mahkamah melepas serta membebaskan perayu (Idris) atas semua lapan tuduhan dan hukuman penjara serta denda dibatalkan secara serentak,” katanya memetik sumber Berita Harian Online.

Idris yang bertugas di projek penggantian saluran paip PETRONAS, didakwa atas empat tuduhan menerima rasuah berjumlah RM403,000 daripada Kamaruddin untuk pembayaran terhadap pembelian dan ubah suai rumahnya di Bandar Tun Hussein, Cheras, sebagai upah meluluskan dokumen urusan rasmi PETRONAS.

Bapa kepada tiga orang anak itu turut menghadapi empat tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM384,500 dengan cara membuat bayaran deposit, membeli dan mengubah suai sebuah rumah Semi-D di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.

Sebaik mahkamah membacakan keputusan itu, tertuduh yang hadir ke mahkamah memakai kemeja merah jambu dan seluar hitam, dilihat menadah tangan dan menutup mukanya sebagai tanda syukur.

Keputusan itu turut disambut tangisan ahli keluarga yang berada di galeri awam bersama beberapa rakannya.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Mohd Farez Rahman manakala Idris diwakili peguam Rahmat Hazlan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");