Membawang Hari Ini

Percaya, bukti Sarah Ismail bangkit

Sekiranya individu lain mungkin sudah berputus asa selepas percubaan demi percubaan tidak berhasil namun tidak bagi Maisarah Ismail, atau nama komersialnya, Sarah Ismail, 30.

Lebih lima tahun mencuba nasib untuk menempatkan diri sebagai penyanyi, kali ini tuah seni menjadi milik penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini.

Dia mahu kembali bangkit berjuang demi mempertaruhkan bakat seni yang dianugerahkan.

Mengakui tidak ada istilah putus asa dalam kamus hidupnya, Sarah tetap optimis dan mengharap ruang dan langkahnya kali ini lebih besar menerusi single sulung, Percaya.

Ditulis komposer muda, Nashriq Ismail Sabri yang juga adik penyanyi Dafi, Percaya dianggap naskhah yang cukup sentimental, apatah lagi berkait rapat dengan sisi kehidupannya secara peribadi.

“Jujurnya, lirik Percaya itu sendiri begitu dekat dengan jiwa saya. Ia memberi gambaran atau refleksi kepada kecekalan dan kesungguhan saya memperjuangkan bakat dalam dunia seni.

“Saya sudah tempuhi banyak ranjau yang secara tidak langsung menjadikan pengalaman itu mematangkan diri dan memberi panduan yang baik dalam industri.Jika dulu mungkin saya masih mentah. Namun kini saya cuba bangkit dengan semangat baru.

“Jadi lagu ini adalah keyakinan dan kepercayaan pada kebolehan diri. Harapnya dapat juga memberi inspirasi buat pendengar,” katanya yang sebelum ini pernah berjinak-jinak dalam dunia lakonan dan pengacaraan.

“Apa yang boleh saya katakan, jangan sesekali mengalah. Sebaliknya cuba beri yang terbaik kerana saya percaya, rezeki setiap individu itu berbeza. Insya-ALLAH jika kita sabar dan terus berusaha, tuah pasti datang.

“Cuma cepat atau lambat saja. Yang penting, just go with the flow dan usah give up,” luah Sarah jujur.

Tambah Sarah lagi, selain sibuk mempromosikan lagu tersebut, muzik video Percaya arahan Ghaz Abu Bakar juga sudah boleh ditonton di YouTube.

Jadi guru vokal

Ditanya mengenai apakah aktiviti seninya selain menyanyi, graduan Aswara ini sebenarnya sudah tiga tahun mengajar vokal.

“Saya juga akan terlibat dalam sebuah program TV sebagai guru vokal. Namun tidak boleh diperincikan lagi kerana masih dalam perbincangan. Apa pun, saya memang tidak sabar untuk terlibat sebagai tenaga pengajar.

“Semoga berjalan lancar seperti yang diharapkan,” katanya lagi yang turut menambah, kerjaya sebagai guru vokal sedikit pun tidak menghalangnya untuk terus aktif menyanyi.

“Saya mengajar setiap Rabu dan Khamis. Tiada masalah nak urus masa. Lagi pula, kerjaya sebagai guru vokal sinonim dengan penyanyi. Secara tidak langsung, ia membantu saya menjadi lebih baik,” ujar anak ketiga daripada lima beradik ini.

Beri ruang pada lakonan, pengacaraan

Sarah juga bersedia menerima tawaran berlakon dan pengacaraan selepas menumpukan sepenuh perhatian kepada proses merakam lagu dan mengajar vokal.

“Nak dikata tidak mahu lagi berlakon atau jadi pengacara, tidaklah. Cuma beberapa tahun kebelakangan ini, saya akui jarang keluar televisyen kerana sibuk dengan kerjaya selain mahu fokus untuk menyiapkan single.

“Jadi bila semuanya sudah stabil dan lagu Percaya pun sudah dimainkan, Jadi inilah masa yang tepat untuk saya kembali explore dunia seni dengan sebaik mungkin.

“Saya boleh terima tawaran lakonan atau pengacaraan andai kena masanya,” kata Sarah yang turut berharap agar Percaya menjadi satu percubaan sukses.

“Kepada pendengar, dengarlah lagu ini lagu ini dengan hati terbuka. Sebagai muka baru yang ada sedikit pengalaman dalam seni, sudah tentunya saya mengharapkan yang terbaik untuk Percaya,” katanya memetik sumber Sinar harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");