Perak Hari Ini

PICR 2017 mampu tarik penyertaan 2,000 pelumba

IPOH:Perlumbaan basikal terulung di negeri ini, Perak International Century Ride (PICR) 2017 sejauh 160 kilometer pada 21 Mei ini dijangka menarik penyertaan lebih 2,000 pelumba termasuk dari Eropah, Asia dan Asia Tenggara.

Presiden Levelo Cycling Club, Sharudin Not berkata, sejak pendaftarannya mula dibuka pada 16 Januari lalu, PICR 2017 telah menarik lebih 1,000 penyertaan.

Menurutnya, antara yang telah mengesahkan penyertaan ialah pelumba dari Jerman, Singapura, Brazil, Thailand, Indonesia, Brunei, Australia, Jepun, Vietnam dan Korea Selatan.

Katanya, pihaknya menjangkakan lebih ramai pelumba terutama dari luar
negara akan menyertai PICR kali ini sebelum tarikh pendaftaran ditutup pada 21 April ini.

“PICR semakin dikenali dan menjadi pilihan nombor satu peminat sukan lumba basikal dalam dan luar negara kerana reputasinya selepas kejayaan penganjuran dua edisi perlumbaan sebelum ini.

“Perlumbaan kali ini menjanjikan saingan lebih menarik kerana para pelumba bakal merasai pengalaman berlainan berlumba di laluan baharu yang kami tetapkan tahun ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut Sharudin, PICR 2017 akan bermula di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Gopeng dekat sini seterusnya melalui Gopeng, Kuala Dipang, Tanjung Tualang, Changkat Tin, Kampung Gajah, Memali, Lambor Kanan, Changkat Melintang, Bota Kanan, Titi Gantung, Bukit Kota, Gelung Pepuyu, Dendang, Talang, Tanjung Belanja, Parit, Kampung
Piandang, Bemban, Istana Kellie dan berakhir di RTC Gopeng.

Beliau berkata, perlumbaan PICR 2017 bakal menguji ketahanan fizikal dan mental para pelumba menempuh laluan yang secara keseluruhannya mendatar.

Malah jelasnya perlumbaan yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri bakal merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Perak 2017.

“Di sepanjang laluan, para pelumba akan melalui beberapa destinasi pelancongan yang menarik antaranya Gua Tempurung, Istana Kellie dan kawasan perkampungan serta sawah padi,” katanya.

Lima kategori dipertandingkan iaitu Lelaki dan Wanita Terbuka, Junior dan Senior Veteran dan Kategori Junior.

PICR 2017 mendapat sokongan daripada kerajaan negeri, Tourism Perak
dengan kerjasama syarikat telekomunikasi RedONE manakala Hotel Symphony di sini adalah hotel rasmi PICR 2017.

Pendaftaran untuk PICR 2017 boleh dibuat menerusi laman web event.howei.com.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");