Membawang Hari Ini

PM, TPM ucap takziah kepada keluarga Jins Shamsuddin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seniman legenda, Tan Sri Jins Shamsuddin yang meninggal dunia hari ini kerana sakit tua.

“Sedih terima berita seniman Tan Sri Jins Shamsuddin telah pulang ke rahmatullah. Takziah kepada keluarga, moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan Twitternya, malam tadi.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi akaun Twitternya turut mengucapkan takziah kepada keluarga seniman tanah air itu.

“Takziah keluarga Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin. Semoga dicucuri rahmat ke atasnya. Jasa seniman negara dikenang sepanjang zaman. Al Fatihah,” katanya.

Jins Shamsudin, 81, meninggal dunia ketika hendak mendapat rawatan di sebuah klinik di Taman Melawati di sini petang tadi.

Allahyarham pernah diberi penghormatan tinggi oleh kerajaan apabila beliau dilantik menjadi Senator, selama dua penggal mulai 2004 hingga 2011, sebagai mewakili komuniti perfileman serta menjadi pelakon filem yang pertama mendapat status itu.

Selain itu, Allahyarham yang dilahirkan di Taiping, Perak, turut dianugerahkan gelaran Seniman Negara oleh kerajaan pada 2009 atas sumbangannya pada kemajuan industri filem negara.

Allahyarham meninggalkan isteri Puan Sri Halijah Abdullah dan tiga anak iaitu Putera Jefri Jins, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");