Jenayah

Polis tumpas geng pecah kereta kurang 24 jam

YAN:Tindakan pantas seorang pengamal media (Bernama) merakam gambar kereta suspek kes pecah cermin kereta di rumah kenduri kahwin berjaya membantu pihak polis menahan dua lelaki iaitu suspek kes berkenaan dalam tempoh kurang 24 jam.

Memetik sumber Sinar Harian, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, wartawan Bernama, Rosnani Saad, 34, sedang pakir di tepi jalan untuk ke rumah kenduri di Batu 23, Titi Serong, Yan di sini, kelmarin.

“Ketika itu hujan lebat saya bersama dua orang anak berada di dalam kereta sambil menunggu hujan reda untuk keluar berjalan ke rumah kenduri.

“Sambil melayan telatah anak, saya ternampak sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih berhenti di sebelah kereta jenis Perodua Alza dan melihat penumpang hadapan kereta Myvi terbabit memasukan tangan lalu mengambil seutas beg tangan di dalam kereta Perodua Alza melalui cermin belakang sebelah kanan yang telah dipecahkan.

“Saya sangat terkejut melihat kejadiaan itu dan lantas segera merakam gambar kereta suspek sebelum gambar terbabit dihantar terus kepada pihak polis melalui aplikasi WhatsApp.

“Kalau ikutkan hati saya mahu kejar dengan kereta tetapi bimbang keselamatan diri dan anak saya yang turut ada bersama ketika itu,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Yan, Deputi Supritenden Muhamad Halim Yatim berkata pihaknya bertindak pantas dengan menyiasat kes berkenaan sejurus mendapat maklumat daripada wartawan berkenaan.

“Kita mengesan suspek melalui nombor pendaftaran kereta yang digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan.

“Modus operandi yang digunakan ialah suspek akan melastik cermin kereta mangsa terlebih dahulu sebelum bertindak memecahkan cermin kereta berkenaan dengan menggunakan serpihan seramik palam pencucuh,” katanya.

Muhamad Halim berkata, suspek bergerak berdua sahaja dengan menaiki kereta jenis Perodua MyVi dan bagi menyembunyikan identiti diri, suspek memakai kopiah dan mensasarkan kereta yang diparkir di tepi jalan kawasan rumah kenduri kahwin.

“Ini adalah kes kedua pada hari yang sama di mana kes pertama melibatkan suspek yang sama berlaku di Surau Taman Yan dan ini telah diakui oleh kedua-dua suspek,” katanya.

Katanya, hasil sisasatan polis menahan suspek pertama di hadapan sebuah rumah beralamat C-01-06, Flat Paya Nahu, Taman Ria Jaya, 08000 Sungai Petani, Kedah.

“Suspek yang berusia 34 tahun itu mempunyai lima rekod jenayah dan satu rekod dadah.

“Suspek kedua berusia 48 tahun di tangkap pada jam 9.30 malam kelmarin di tepi Jalan berhadapan Kedai Nasi Kandar Muhammad Maju, Taman Seruling, Jalan Bakar Sampah, Sungai Petani.

“Suspek ini juga turut mempunyai enam rekod jenayah dan satu rekod dadah,” ujarnya.

Menurut Muhamad Halim, kedua-dua suspek baru sahaja dilepaskan dari penjara kurang sebulan lalu ekoran kes dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 kanun keseksaan dan suspek direman bermula 21 hingga 24 Mac ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");