Isu Panas

PPBM perlu fahami dasar pakatan pembangkang

ALOR SETAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) harus menerima dan memahami persamaan rangka kerja dan dasar yang dibentuk dalam Pakatan Harapan jika berhasrat menjalinkan hubungan bersama.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata adalah penting bagi PPBM menerima kerjasama yang dipersetujui itu bagi memastikan hubungan berkenaan berhasil.

“Mana-mana parti yang menyertai gabungan mesti menerima kerjasama yang sudah dipersetujui bersama. Maknanya kita ada rangka kerja dan polisi yang sudah ditetapkan.

“Walaupun setiap parti mempunyai ideologi berbeza dan kita tak boleh hentikannya, apabila mereka menyertai gabungan pakatan ini, kita harus terima kenyataan.

“Semua parti perlu bergerak mengikut polisi yang sama kerana ia sudah diamalkan sejak dulu,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor merasmikan Konvensyen PKR negeri Kedah dan Perlis di Hotel Fuller, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi bayangan bahawa PPBM mahu menjadi parti utama yang akan mendokong perjuangan pembangkang, selain ingin memastikan pakatan itu dipelopori parti berteraskan Melayu.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan PAS, Azmin berkata, PKR menaruh harapan PAS akan menjalinkan kerjasama dengan pakatan pembangkang, sekali gus menjemput kepimpinan parti itu bagi mengadakan pertemuan untuk membincangkannya.

“Kita tak pernah memutuskan hubungan dengan PAS dan itu pendirian yang kita ambil tetapi ia memerlukan pertemuan segera bagi tujuan berkenaan (kerjasama), sekarang pun masa tak banyak.

“Kita memahami keadaan PAS buat masa ini yang sedang berhadapan dengan pemilihan dalam parti namun saya percaya selepas berakhirnya muktamar bulan depan, kepimpinan PAS akan lebih bersedia dan tampil ke depan untuk berbincang dengan semua parti (pakatan pembangkang),” katanya memetik sumber Berita Harian Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");