Perak Hari Ini

Rakyat Bertanggungjawab Hargai Keperluan Air-Sultan Perak

KUALA KANGSAR: Sultan Perak,Sultan Nazrin Muizzudin Shah bertitah bahawa rakyat perlu menyedari tanggungjawab dalam menghargai keperluan air dan tidak melakukan pencemaran terhadap sumber-sumber air, selain dididik supaya tidak membazir.

“Kekurangan air adalah satu fenomena yang sedang melanda dunia ketika ini dan rakyat wajib sedar bahawa bekalan air yang tidak mencukupi, bakal mencetuskan krisis, kerana air adalah keperluan paling asas kehidupan.

“Krisis bekalan air bukan satu fiksyen atau cerita rekaan malah diramalkan bahawa persaingan dan perebutan mendapatkan sumber air, boleh menjadi punca memungkinkan manusia berperang pada masa akan datang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Kg. Senawar di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak, Raja Nur Mahani Raja Shahar Shah, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tuanku Suraya Abdul Halim Shah.

Baginda bertitah lagi kebelakangan ini, beberapa kawasan di negara ini turut mengalami krisis kekurangan bekalan hingga catuan air terpaksa dilakukan.

Berikutan itu titah baginda, usaha untuk meminimumkan bencana daripada risiko yang sedang dihadapi memerlukan tindakan secara proaktif, strategik dan terancang hendaklah dilakukan menerusi tindakan lima langkah utama.

“Pertama, memelihara dan memulihara sumber-sumber air serta kawasan tadahan air, dengan memastikan alam sekitar yang mapan, kedua, mengurus sumber air secara bersepadu.

“Ketiga, menaiktaraf sistem air sedia ada dengan merintis teknologi baru, keempat, mempelbagaikan sumber air dengan meneroka sumber-sumber alternatif antaranya, potensi air bawah tanah, air yang dikitari semula (recycle water), serta penuaian air hujan dan kelima, program pendidikan agar pengguna sedar dan turut mengambil tanggungjawab memelihara sumber air dan tidak melakukan pembaziran,” titah baginda lagi.

Titah baginda, memelihara dan memulihara sumber air serta budaya menggunakan air secara berhemah dan optimum adalah tanggungjawab setiap rakyat.

“Program pendidikan tentang nilai dan kepentingan air, serta tanggungjawab bersama untuk memelihara dan memulihara sumber air perlu disemaikan di dalam keluarga, di bangku sekolah, di tempat bekerja, di kalangan badan-badan bukan kerajaan serta pertubuhan sukarela dan di rumah-rumah ibadat,” titah baginda.

Baginda bertitah lagi, sikap menghargai dan menghormati air, dengan langkah permulaan dengan tidak lagi membuang sisa buangan dan sampah ke dalam parit, longkang dan sungai perlu dimulakan.

“Langkah tersebut mungkin langkah kecil, tetapi langkah yang besar dan berimpak tinggi, bermula dengan satu langkah kecil yang dilakukan secara beramai-ramai, hingga tersemai satu keinsafan dan satu kesedaran, hingga diperlihatkan sebagai satu amalan harian dan satu budaya di kalangan warga.

Tegas baginda menjadi satu tanggungjawab utama setiap Kerajaan mengambil langkah dan memperuntukkan pelaburan kewangan untuk membolehkan rakyat dapat menikmati bekalan air bersih.

“Menyediakan air bersih kepada rakyat adalah antara matlamat penting yang terkandung dalam agenda pembangunan lestari yang dilancarkan di peringkat global ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992.

“Agenda tersebut telah dikunjungi semula dan dihidupkan kembali dalam sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2015; dengan memperkenalkan tema baru ‘Transformasi Dunia Kita: Agenda 2030’,” titah baginda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");