Jenayah

Rasuah Hartanah: Mahkamah Benar Exco Johor Dibebaskan Dengan Jaminan

Mahkamah membenarkan seorang exco kerajaan Johor yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini, dibebaskan daripada tahanan reman.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Rendah Johor Bahru, Saba’aton Daud membenarkan exco berumur 51 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM200,000.

Exco itu direman 7 hari bermula 10 Mac lepas dan tempoh reman terbabit berakhir hari ini.

Terdahulu, exco itu yang lengkap berpakaian lokap berwarna oren tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen/Majistret di sini, kira-kira 9.10 pagi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda SPRM.

Selepas prosiding selama 15 minit di bilik pendaftar, exco berkenaan dibawa menaiki kenderaan sama ke pejabat SPRM Johor.

Exco berkenaan yang bercuti daripada tugas rasmi kerajaan negeri sejak 1 Mac sehingga siasatan berhubung rasuah dan penyelewengan hartanah itu selesai, ditahan SPRM di pejabat agensi itu, pada 9 Mac lalu ketika hadir memberi keterangan berhubung skandal terbabit.

Selain itu, SPRM turut menggeledah rumah exco terbabit dan merampas wang tunai RM41,000 bersama 150 beg tangan pelbagai jenama dan sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire.

Dia disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Dua hari lepas, Mahkamah Tinggi Johor Bahru menolak permohonan exco tersebut untuk menyemak semula tempoh reman yang dikenakan ke atasnya mulai 10 Mac itu.

Exco berkenaan yang hadir di mahkamah bersama peguamnya, Abdul Rahim Ali, memohon agar tempoh reman yang dikenakan terhadapnya dipendekkan atau ditamatkan.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang membuat keputusan itu selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan bagaimanapun berkata, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa membuat semakan tentang keputusan mahkamah rendah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");