Isu Panas

RUU355: Tiada istilah patah semangat buat Pas

SHAH ALAM: Pas tidak rugi sekiranya kerajaan tidak membentangkan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen.

Ini kerana menurut Naib Presiden Pas, Idris Ahmad, RUU 355 adalah agenda Islam dan bukannya isu politik semata-mata.

“Ada yang tuduh Pas dipermaikan oleh Umno. Kepada Pas, tidak ada perkara yang rugi. Siapa bawa pun tidak mengapa, asalkan agenda Islam dapat dilaksanakan. Hatta jika DAP hendak bawa pun Pas akan sokong.

“Ini bukan isu yang hendak dipolitikkan. Kalau fikir keuntungan politik daripada awal, Pas tidak akan memperjuangkan perkara ini. Ahli Pas diajar berpolitik untuk bekalan akhirat, bukan sahaja di dunia. Inilah motivasi kami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tidak patah semangat, katanya lagi, pihaknya akan kekal memperjuangkan RUU355 dan syariat Islam hingga kiamat.

“Jangan haraplah Pas hendak berundur daripada memperkatakan mengenai Islam. Rakyat boleh menilai sikap Pas tidak pernah berubah sejak daripada dulu. Bukan perkara baru berbagai pihak meminta Pas buang sahaja agenda Islam jika mahu maju dalam politik,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen dan ia akan kekal sebagai RUU persendirian.

Katanya ini susulan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang secara konsensus membuat keputusan mengenai perkara itu memetik sumber Sinar Harian Online.

“Rakyat boleh menilai itulah kualiti pemimpin Umno mengenai perjuangan mereka untuk memartabatkan Islam di negara ini.

“Hampir 60 tahun merdeka mereka gagal mendidik rakan-rakan mereka untuk memahami Islam dan menghormati hak orang Islam. Rakyat juga boleh menilai inilah Pas, bukan ia hirau apa yang manusia hendak kata,” ujar Idris lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");