Sukan Hari Ini

Skuasy yakin pertahan emas

PASUKAN skuasy negara optimis mampu mempertahankan keseluruhan pingat emas dimenangi di Singapura dua tahun lalu, pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dijadualkan berlangsung 19 hingga 31 Ogos depan.

Pengurus pasukan, Nik Razeen A Daud percaya beraksi sebagai pasukan tuan rumah akan lebih membakar semangat pemain untuk berjuang bagi mengulangi kejayaan tersebut.

Namun, beliau menyifatkan kehadiran bekas pengarah kejurulatihan kebangsaan, Allan Soyza yang kini bersama Singapura akan memberi satu cabaran kepada Malaysia pada temasya dwitahunan itu.

“Jika dilihat pada Sukan Sea lalu di Singapura, kami meraih empat emas dan saya percaya pemain yang akan mewakili negara pada temasya kali ini akan berjuang untuk mempertahankan pencapaian itu.

“Bagaimanapun, kehadiran Allan Soyza dalam pasukan Singapura akan memberi sedikit cabaran kepada Malaysia kerana beliau sedia maklum mengenai strategi Malaysia,” katanya pada sidang media Program Kita Juara 2017 bersama pasukan skuasy kebangsaan di sini, semalam.

Nik Razeen, yang juga Naib Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), yakin barisan pemain negara sudah bersedia dan jauh lebih mantap berbanding pemain Singapura.

“Beliau (Allan) tahu kemampuan barisan pemain kita, namun saya berpendapat pemain kita lebih mantap daripada pemain Singapura,” katanya.

Sementara itu, jurulatih negara Ong Beng Hee berkata, dengan segala latihan dan persiapan rapi yang sedang berjalan, sasaran tujuh emas yang diletakkan akan dapat dicapai.

“Sebagai persediaan, pemain diberi pendedahan menyertai kejohanan profesional kerana mereka juga sedang mempersiapkan diri menghadapi Kejohanan Asia pada hujung April, malah ada pemain bakal menyertai kejohanan Remaja Dunia,” katanya.

Untuk rekod, empat pingat emas dimenangi pasukan skuasy kebangsaan pada edisi Sukan Sea Singapura 2015 adalah menerusi acara perseorangan serta berpasukan, masing-masing kategori lelaki dan wanita. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");