Sukan Hari Ini

Sukan badminton dalam bahaya

PENGKRITIK dan penganalisis sukan, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berpendapat sukan badminton negara berada dalam situasi bahaya dan kemungkinan bakal kehilangan statusnya sebagai antara kuasa besar badminton dunia.

Menurutnya, keadaan itu berlaku akibat ketiadaan pemain berkualiti yang mampu dilahirkan lagi selepas berakhirnya era Datuk Lee Chong Wei beberapa tahun lagi.

Katanya, keadaan itu pastinya bakal mengundang rasa sedih peminat negara apatah lagi sukan badminton merupakan antara sukan utama di negara ini.

“Kalau ikutkan sejarah, negara dapat membentangkan pemain yang cemerlang selepas Wong Peng Soon iaitu Eddy Choong, Misbun Sidek dan kini Chong Wei.

“Tetapi pada masa kini, keadaan mula berubah kerana kita gagal mencari pemain yang mampu meneruskan kecemerlangan mereka. Saya risau Malaysia akan hilang sengat dan memerlukan masa lebih lama untuk bangkit kembali menjadi antara negara terkuat dalam sukan ini,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Mengulas lanjut, kata Kay Kim, faktor utama yang menjadi kepada kelemahan untuk membangunkan pelapis berkualiti adalah sifat individu itu sendiri yang tidak bersemangat bermain untuk negara selain tiada skil yang berkualiti.

“Saya dapati cara generasi bermain badminton telah jauh berbeza dengan cara zaman dahulu. Mereka nampak tidak faham bagaimana legenda seperti Dave Freeman dan Peng Soon bermain. Sejarah sukan bukan perkara yang boleh diabaikan.

“Selain itu, masalah ini timbul kerana sekolah tidak lagi memberi perhatian kepada sukan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut melihat Chong Wei boleh terus bermain dan bakal mengalas harapan untuk tempoh dua atau tiga tahun lagi.

“Chong Wei boleh terus bermain. Itu terpulang kepada dia tetapi negara perlu ada seorang dua yang sudah sampai ke peringkat di antara terbaik di dunia.

“Kalau negara masih mengharapkan Chong Wei menjadi ‘Raja Badminton’, besar kemungkinan dalam setahun dua daripada sekarang, India, Korea Selatan dan Jepun akan berjaya merampas gelaran juara dunia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");