Jenayah

Tentera selamatkan 2 tebusan rakyat Malaysia

KOTA KINABALU: Dua daripada lima mangsa culik warga Malaysia yang menjadi tebusan Abu Sayyaf sejak Julai tahun lalu, dilaporkan berjaya diselamatkan tentera Filipina awal hari ini.

Menurut sumber laporan media Filipina, Jurucakap Pasukan Keselamatan Filipina (AFP), Kolonel Edgard Arevalo, berkata tebusan yang dilaporkan selamat itu dikenal pasti sebagai Fandy Bakran, 26, dan Abdul Rahim Summas, 62.

Manakala dua mangsa itu adalah antara lima rakyat Malaysia yang juga kru kapal tunda Serudong yang diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Heaven di Lahad Datu pada 18 Julai lalu.

Mereka diselamatkan ketika pasukan Marin melancarkan operasi di Kampung Tanah Paya di Carundong, di barat daya Filipina, kira-kira jam 2 pagi tadi.

Berdasarkan laporan media Filipina, kedua-dua mangsa sedang dibawa ke Camp General Teodulfo Bautista di Jolo, Sulu untuk pemeriksaan perubatan.

Kumpulan Abu Sayyaf dikatakan masih menahan 29 tebusan, enam daripada mereka adalah rakyat Filipina.

Sementara itu sumber Bukit Aman ketika dihubungi berkata, pihaknya masih cuba untuk mendapatkan pengesahan mengenai laporan media berkenaan.

“Kita sudah mendapat maklumat mengenai perkara ini dan kini giat untuk mendapatkan pengesahan,” katanya.

Dalam kejadian pada 18 Julai tahun lalu, lima mangsa culik rakyat Malaysia terbabit ialah juragan, Abd Rahim Summas, 62; Tayudin Anjut, 45; Fandy Bakran, 26, dan Mohamad Jumadil Rahim, 23; semuanya dari Tawau, manakala Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari FELDA Jengka 7, Pahang.

Semua mangsa yang juga kru kapal tunda Serudong 3 diculik di perairan Dent Heaven di Lahad Datu, ketika perjalanan ke Semporna selepas menghantar pasir di Sandakan.

Kapal tunda itu ditemui terkandas di kawasan beting pasir dengan enjin hidup tanpa operator, manakala barangan di dalamnya berselerak sebelum mereka disahkan diculik dan dibawa ke selatan Filipina.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");