JURULATIH perseorangan lelaki negara, Hendrawan tidak merasakan ketiadaan beliau bersama Datuk Lee Chong Wei pada Kejohanan Seluruh England minggu depan akan memberi masalah kepada jaguh badminton negara itu untuk memberi aksi terbaik.
Sebaliknya Hendrawan percaya Chong Wei akan memberikan aksi terbaiknya kerana keinginannya untuk beraksi di Seluruh England cukup tinggi selain bekerja keras untuk kembali pulih.
“Soal siapa iringi datuk, saya rasa itu bukan masalah utama kerana apa yang paling penting, kemahuan pemain itu.
“Di gelanggang semuanya bergantung kepada pemain itu sendiri kerana jurulatih hanya duduk di belakang untuk beri pandangan.
“Jadi, saya rasa itu tidak menjadi masalah lagipun Tey Seu Bock ada untuk membantu Chong Wei di sana,” katanya memetik sumber Sinar Harian.
Kelmarin, Hendrawan memberitahu yang beliau tidak akan menemani Chong Wei ke Birmingham kerana masalah kesihatan, sebaliknya diiringi penolongnya, Seu Bock.
Dalam pada itu, mengulas peluang Chong Wei untuk memburu gelaran keempat di kejohanan berprestij itu yang akan berlangsung 7 hingga 12 Mac ini selepas baru pulih dari kecederaan lutut, Hendrawan berkata, beliau optimis kemampuan anak didiknya itu.
Ujar Hendrawan, beliau juga melihat Chong Wei sudah bersedia dengan mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal bagi menggalas misi negara pada kejohanan itu nanti.
“Memang agak sukar lebih-lebih lagi dia baru sahaja pulih dari kecederaan dan ini juga merupakan kejohanan pertamanya pada tahun ini selepas hampir tiga bulan berehat.
“Jadi, sudah pasti dia perlu mendapatkan semula rentaknya, tapi dengan pe-ngalaman dimiliki Chong Wei serta semangat juangnya yang tinggi, saya pasti dia akan memberikan aksi paling maksimum dan tidak menghampakan,” katanya lagi.
Kali terakhir Chong Wei beraksi di pentas antarabangsa ialah Siri Super Final Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal Disember lalu, yang menyaksikan dia terkandas dalam peringkat kumpulan.
Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan pertama akan membuka tirai saingan menentang pemain daripada pusingan kelayakan untuk aksi pusingan pertama pada 8 Mac.