IPOH : Kerajaan Perak mahu semua majlis daerah di negeri ini mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak menjaga kebersihan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan yang lebih tegas perlu diambil bagi memastikan kebersihan di negeri ini berada di tahap terbaik.
“Saya ingin melihat negeri ini menjadi contoh dimana kebersihan diutamakan dan dari segi kehijauan dapat kita semarakkan dalam bandar-bandar kita.
“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri untuk memastikan Perak dapat menjadi contoh dalam aspek kebersihan dan kehijauan kepada kita semua.
“Oleh itu, saya meminta kepada majlis daerah untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang tidak menjaga kebersihan.
Zambry menambah, majlis-majlis daerah perlu sentiasa mempergiatkan usaha untuk mendidik rakyat Perak berkaitan kebersihan dan kehijauan alam sekitar.
“Kita akan terus mendidik rakyat di negeri ini dan dalam masa yang sama memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,”katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, hari ini.
Untuk makluman, dalam usaha untuk meningkatkat kualiti kebersihan di negeri Perak, Zambry pernah mengadakan lawatan mengejut dengan mengikuti lori sampah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan turut mengutip sampah di sekitar bandaraya ini.
Terbaru, beliau mengadakan kunjungan mengejut di medan selera Taman Kanak-Kanak bagi melihat sendiri keadaan kebersihan di kawasan itu, semalam.
Mengulas mengenai kunjungan mengejut beliau, Zambry berkata, tumpuan bukan hanya diberikan di kawasan bandaraya semata-mata, sebaliknya akan turut melibatkan seluruh daerah di negeri ini.
“Ada implikasi apabila rakyat melihat dan meminta Menteri Besar turun. Pertama, mereka merasakan bahawa langkah yang mereka ambil sebelum ini dengan membuat laporan kepada pihak berwajib melalui majlis daerah tidak berkesan lalu mereka meminta saya untuk turun melihat.
“Saya tidak mahu komen sama ada ianya baik atau tidak, tetapi paling penting kita perlu mendengar permasalahan dan turun memantau.
“Saya faham ada beberapa tekanan yang dihadapi oleh majlis daerah dan perbandaran kerana dikalangan mereka ada yang tidak mendapat gambaran atau masalah kos untuk menampung sesuatu tempat itu kerana tidak mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi,”katanya.
Oleh itu, Zambry berkata, kerajaan negeri juga memberi bantuan kepada majlis daerah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Ujarnya lagi, beliau akan terus memantau dan mengadakan tinjauan mengejut di beberapa kawasan di negeri ini.