Berita Hari Ini

1.3j Peminjam Bayar Balik Pinjaman PTPTN

PUTRAJAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) menerima RM10.9 bilion bayaran balik daripada 1.3 juta peminjam sehingga hujung Januari lalu.

Memetik sumber Berita Harian Online, Timbalan Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid, berkata PTPTN sepatutnya mengutip RM18.8 bilion daripada 1.9 juta peminjam, tetapi kecewa kerana ada yang belum membayar balik pinjaman sekali gus menyukarkan PTPTN meneruskan pembiayaan pembelajaran kepada generasi seterusnya.

Namun, katanya, PTPTN tetap berterima kasih kepada peminjam yang melaksanakan tanggungjawab mereka dan menyifatkan golongan yang masih belum membayar hutang sebagai ketinggalan kerana tidak mengikut trend yang wajib dilaksanakan pembayar.

“Jumlah kutipan pembayaran balik pinjaman PTPTN semakin meningkat kebelakangan ini dan kami berharap 1.3 juta peminjam yang sudah menunaikan tanggungjawab.

“Kami harap mereka (peminjam) terus berbuat demikian sehingga selesai pembayaran balik,” katanya pada sidang media selepas Sesi Perbincangan Meja Bulat PTPTN bersama Majlis Profesor Negara (MPN), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose dan Timbalan Presiden MPN, Prof Dr Kamaruddin Md Said.

Sesi itu bertujuan mendapatkan pandangan dari kalangan peserta yang hadir bagi memastikan kelestarian pembiayaan pendidikan tinggi dapat memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini.

Selain meleraikan kekeliruan masyarakat berkaitan isu pinjaman dan bayaran balik pinjaman, perbincangan turut menjadi medan untuk berkongsi maklumat serta mendengar pandangan berkenaan idea baharu yang perlu dilaksanakan bagi penambaikan PTPTN.

Mastura berkata, perbincangan dan kerjasama seumpamanya dapat memantapkan lagi operasi serta dasar yang dilaksanakan PTPTN, di samping mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum melaksanakan sesuatu tindakan.

Katanya, menerusi perbincangan itu, majoriti peserta menyokong bahawa amalan penabungan pendidikan perlu dilakukan dan dirancang pada peringkat awal supaya peminjam tidak bergantung kepada pinjaman PTPTN semata-mata bagi melanjutkan pelajaran di masa hadapan.

Beliau berkata, cadangan lain yang turut diusulkan dalam perbincangan itu termasuk menukar pengecualian pembayaran peminjam yang mendapat kelas pertama kepada pelajar cemerlang dari segi akademik, kokurikulum serta pencapaian lain yang mereka peroleh sepanjang mengikuti pengajian di universiti.

Dalam perkembangan lain, Mastura memaklumkan sehingga penghujung Februari lalu PTPTN sudah mengecualikan pembayaran kepada 42,425 peminjam yang mendapat kelas pertama di institusi pengajian tinggi berjumlah RM1.26 bilion, sebagai motivasi kepada pelajar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");