Perak Hari Ini

112 Ribu Benih Udang Galah Dilepaskan Bersempena Program Pemukiman Menteri Besar

TELUK INTAN: Dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan nelayan darat, kerajaan Perak mengambil initiatif dengan melepaskan 112 ribu benih udang galah disini hari ini.

ADUN Trong, Datuk Dr Zabri Abd Wahid, berkata selain program pelepasan benih udang turut diadakan sesi penyerahan elaun sara hidup nelayan darat dan kursus asas penyelenggaraan enjin sangkut

“Pelepasan benih udang galah ini akan terus dilakukan dalam usaha memastikan udang galah akan terus hidup kerana ianya antara sumber pendapatan utama kepada nelayan darat di sini.

“Pihak kerajaan akan memelihara sungai ini melalui pemantauan dari Jabatan Perikanan Malaysia dan agensi-agensi perikanan. Kajian demi kajian telah dibuat dan pelepasan benih ini dapat memastikan udang galah akan terus hidup di sungai ini,” katanya pada sidang media di Program Pengukuhan Nelayan Darat di jeti nelayan Kampung Durian Sebatang bersempena Program Pemukiman Menteri Besar daerah Hilir Perak.

Jelas beliau juga pelepasan benih udang galah sebanyak 112 ribu benih itu disasarkan dapat menghasilkan sebanyak 8.4 metrik tan udang galah hidup di sungai tersebut.

“Kita sasarkan pelepasan benih ini akan menghasilkan sebanyak 8.4 metrik tan udang galah iaitu sebanyak 30%. Tetapi ia akan bergantung pada keadaan sungai juga.

“Jika sungai berada dalam keadaan yang baik dan tidak tercemar kemungkinan kita akan dapat hasil yang dua kali ganda dari yang kita sasarkan,” katanya.

Turut berlangsung sesi penyerahan elaun sara hidup nelayan darat daerah Hilir Perak yang menyaksikan seramai 149 nelayan telah menerima elaun tersebut.

Pembahagian elaun tersebut diserahkan kepada nelayan-nelayan darat mengikut daerah iaitu seramai 63 orang nelayan dari daerah Changkat Jong, 26 dari daerah Pasir Berdamar, 45 dari daerah Hutan Melintang dan 12 dari daerah Pasir Salak.

Setiap seorang nelayan akan menerima elaun sara hidup sebanyak RM 200 setiap bulan. Jumlah keseluruhan elaun yang diserahkan adalah RM 28,200.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");