Berita Hari Ini

117 pekerja haram Korea Utara di Sarawak diminta serah diri kepada Imigresen

KUCHING: Seramai 117 orang pekerja Korea Utara di negeri ini yang permit kerja mereka telah tamat diberi tempoh seminggu daripada hari ini untuk menyerah diri kepada pihak Imigresen.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata majikan mereka juga diberi notis satu minggu untuk menyerahkan pekerja mereka.

“Kita tahu di mana mereka berada daripada maklumat yang diterima. Kita akan mendapatkan mereka kerana permit kerja mereka sudah tamat dan oleh itu mereka dianggap sebagai pekerja haram.

“Namun pertama sekali kita akan memberi mereka atau majikan mereka notis satu minggu untuk secara sukarela menyerah mereka di bawah program pengampunan 3+1,” katanya kepada pemberita.

Beliau hadir pada majlis anugerah khidmat cemerlang dan surat penghargaan kepada anggota dan pegawai Imigresen oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mesir Kujat.

Mustafar berkata setiap pekerja haram itu akan dikompaun RM300 dan RM100 (bagi pas pulang).

Beliau berkata sekiranya pekerja dan majikan mereka bertegas untuk mengelak daripada Jabatan Imigresen, hukuman berat menanti mereka jika ditangkap kemudiannya.

Sejumlah 55 warga Korea Utara telah dihantar pulang baru-baru ini, katanya.

“Kita ada 35 orang lagi yang permit kerja mereka akan tamat bulan depan. Oleh kerana kita masih mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Utara, tidak ada sebab kita akan menghantar pulang mereka,” tambahnya.

Beliau berkata kebanyakan pekerja tersebut bekerja di lombong arang atau industri pembinaan.

Berhubung pekerja yang bekerja di Lombong Arang Selantik di Bahagian Sri Aman Division di sini, Mustafar berkata kesemuanya telah meninggalkan syarikat itu.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");