Jenayah

87 kemalangan maut direkod di Sarawak dari Januari-Mac

KUCHING: Tempoh tiga bulan pertama tahun 2017 menyaksikan 4,339 kemalangan jalan raya direkodkan di Sarawak yang mengakibatkan 87 orang maut, peningkatan ketara berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata ini di sebalik penurunan 349 kes kemalangan berbanding 4,688 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata terdapat 87 kematian akibat kemalangan jalan raya dalam tiga bulan pertama tahun ini berbanding 101 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.

Mazlan memberi butiran itu ketika berucap sebelum menerima 32 unit motosikal Kawasaki Ninja EX 250L daripada Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mahamad Akhir Darus di padang kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, Isnin.

Katanya motosikal itu akan diagihkan, berdasarkan keutamaan keperluan, di kalangan 28 daerah polis di Sarawak, terutamanya bagi rondaan lalu lintas dan cegah jenayah.

Mazlan berkata polis negeri tidak lagi akan mengeluarkan amaran kepada mereka yang memuat naik maklumat sensitif, berbaur fitnah atau penghinaan terhadap pihak lain dalam media sosial.

“Sekarang adalah masa untuk kami bertindak. Kami akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan media sosial dan sengaja mahu kami mengambil tindakan.

“Kami akan mencadangkan kepada pihak tertinggi supaya mereka ini didakwa di mahkamah. Kami mahu melindungi dan mengekalkan keamanan dan keharmonian sedia ada,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");