BARCELONA: Jurulatih Barcelona, Luis Enrique, menegaskan tugasannya pada musim terakhir bersama kelab itu masih boleh diakhiri dengan kejayaan biarpun tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara susulan kekalahan kepada Juventus dalam aksi suku akhir, awal pagi tadi.
Juventus berjaya mengekalkan kelebihan hasil kemenangan 3-0 pada aksi pertama dengan mengikat Barcelona seri tanpa jaringan dalam aksi kedua di Nou Camp.
Neymar meninggalkan padang dengan linangan air mata tetapi hampir 100,000 penonton yang hadir tetap menghargai usaha yang ditunjukkan skuad The Catalan.
“Ia malam yang mengecewakan tetapi kami sudah mencuba sehingga minit terakhir dan ia dihargai oleh penyokong pada hujung perlawanan.
“Ini adalah pasukan yang tidak pernah berputus asa, berjuang untuk meraih setiap gelaran, tidak mudah selesa dan sentiasa menerima semua cabaran,” kata Enrique.
Barcelona akan berkunjung ke Santiago Bernabeu bagi pertemuan El Clasico dengan musuh tradisi, Real Madrid, Ahad ini, yang menyaksikan mereka tiada pilihan selain perlu menang bagi mengekalkan peluang merangkul gelaran Liga Sepanyol buat kali ketiga berturut-turut.
Real ketika ini mendahului carta liga dengan kelebihan tiga mata, tetapi turut mempunyai baki satu perlawanan. – AFP