Berita Hari Ini

Beri perhatian kesihatan mental pekerja

KUALA LUMPUR: Majikan perlu memberi perhatian serius kepada aspek kesihatan mental pekerja dengan mewujudkan suasana tempat kerja yang selamat, kondusif dan produktif.

Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata golongan pekerja di negara ini tidak terkecuali daripada masalah itu akibat bebanan kerja yang bertambah dan kos sara hidup yang meningkat.

Katanya, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan seramai 4.2 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas atau 29.2 peratus populasi negara, menghidap pelbagai masalah mental.

“Jumlah itu amat membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding tahun 2006.

“Kajian yang dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menunjukkan tekanan perasaan bakal menggantikan penyakit kardiovaskular sebagai faktor utama sama ada seseorang itu masih mampu bekerja atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berkata, usaha menangani tekanan kerja dan risiko psikososial harus dijadikan sebahagian daripada strategi keselamatan dan kesihatan untuk mengurangkan kemalangan di tempat kerja.

Justeru, beliau berkata Hari Kesihatan Sedunia bertemakan ‘Kemurungan: Mari Bincang’ yang disambut baru-baru ini boleh dijadikan platform untuk orang ramai berbincang mengenai perkara terbabit bersama ahli psikologi dan psikiatri.

“Majikan juga boleh memperkenalkan Program Bantuan Pekerja sebagai usaha pencegahan dan intervensi awal kakitangan yang berhadapan dengan tekanan mental dan emosi.

“Jika masalah psikososial di tempat kerja ditangani dengan baik, ia akan menghasilkan persekitaran kerja yang sihat manakala pekerja akan rasa lebih dihargai dan budaya kerja lebih positif akan dapat diterap dalam kalangan mereka,” katanya memetik sumber Berita Harian Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");