TELUK INTAN: “Jika terus melayan pembangkang seperti kita tiada kerja lain maka perhatian pada rakyat akan dilupakan,” demikian tegas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkaitan tindakan pembangkang yang menyifatkan usaha kerajaan negeri sebagai gimik politik semata.
Malah jelasnya, pembangkang semakin terdesak dengan pendekatan turun padang yang digunakan kepimpinan Perak kerana ia terbukti telah memberi impak yang baik sama ada kepada rakyat mahupun kerajaan negeri sendiri.
“Di Perak program turun padang telah dibuat sejak dulu lagi dan kita turun ke bawah melihat permasalahan rakyat jadi janganlah hanya lihat daripada konteks politik sahaja.
“Saya turun padang kutip sampah di Ipoh tapi kenapa pembangkang tidak ingin turun sama?
“Jika dia bertanggungjawab sebagai wakil rakyat dia kena bersama-sama saya turun padang atau mungkin dia tidak kutip sampah kerana jijik.
“Bagaimanapun, apabila dia menghentam dan mengkritik usaha kami, tidak pula dia rasa jijik dengan perangai sendiri,” katanya sebagai mengulas kritikan pembangkang yang mendakwa ia hanya gimik politik bagi pilihan raya umum yang bakal tiba.
Tambahnya lagi, pihak pembangkang tidak pernah rasa selesa dengan pendekatan yang kerajaan ambil biarpun ia berkaitan kepentingan dan keperluan rakyat.
“Apatah lagi program permukiman dan menteri besar turun ke bawah ia juga dianggap satu publisiti murahan,” tegasnya.
Bagaimanapun sangkalnya, program permukiman dan turun padang mendekati rakyat telah dijalankan pihak kerajaan negeri sejak berakhirnya pilihan raya umum ke-13 lagi.
“Menerusinya rakyat tidak memandang serong usaha tersebut malah kami semua tidak berlakon kerana ia budaya kerja yang diamalkan selama ini.
“Tidak seperti pembangkang jika pilihan raya sudah hampir baru mereka mula turun memberi ceramah dengan mengutuk dan memaki hamun kerajaan sahaja,” katanya dalam satu sidang media sejurus menghadiri perjumpaan dengan para pendidik di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib hari ini.