Perak Hari Ini

Cadangan Kaji Sistem Pendidikan Bukan Bertujuan Hapuskan Sekolah Pelbagai Aliran

KUALA KANGSAR: Masyarakat tidak seharusnya memandang serong dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar sistem pendidikan negara dikaji semula bagi mewujudkan perpaduan nasional.

Menurut Ahmad Zahid, cadangan itu bukanlah bermaksud beliau mahu menghapuskan sekolah pelbagai aliran di negara ini sebaliknya ia bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan masa kini.

Katanya, di bawah dasar pelajaran kebangsaan adalah dibenarkan dan digalakkan pelajar di sekolah rendah untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

“Dasar pelajaran kebangsaan mengatakan bahawa bahasa ibunda digalakkan untuk dipelajari di sekolah rendah tetapi kita hendaklah cari jalan menyatukan kurikulum pendidikan agar perpaduan nasional atau integrasi nasional dapat dimantapkan.

“Jangan salah tafsir kita mahu menghapuskan pendidikan tiga aliran, sebaliknya kita hendak kukuhkan sistem itu untuk integrasi nasional diwujudkan dengan tidak mengenepikan dasar pelajaran kebangsaan di peringkat sekolah rendah,” katanya selepas merasmikan program Ekspresi Negaraku di Kuala Kangsar, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid menyatakan aliran sekolah berbeza telah menyebabkan perpisahan dan tiadanya titik pertemuan antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Malah, kesukaran mengawal pembelajaran di peringkat pra-sekolah seperti yang diseliakan oleh pelbagai pihak dipercayai menjadi salah satu faktor keadaan sedemikian berlaku.

Pelajar juga mempunyai pilihan untuk mengikut sistem kebangsaan atau bahasa ibunda ketika memasuki sekolah rendah.

Diminta mengulas kenyataannya itu, Ahmad Zahid berkata bagi membuat penyelarasan, kurikulum di sekolah menengah memainkan peranan penting.

“Apabila di sekolah menengah, kurikulum yang baharu untuk wujudkan penyatuan bangsa Malaysia hendaklah dilihat dengan teliti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");