Berita Hari Ini

Caj Visa: India Buat Pusingan U

PETALING JAYA: India menaikkan kadar visa bagi pelancong Malaysia dengan peningkatan sebanyak 142% tetapi menarik balik keputusan itu selepas campur tangan pemimpin negara ini.

Keputusan itu ternyata melegakan lebih 250,000 rakyat Malaysia yang memerlukan visa tersebut setiap tahun untuk melawat negara berkenaan termasuk bagi tujuan keagamaan.

Ejen pelancongan tempatan terkejut dengan kenaikan mengejut pada 1 April apabila kadar bayaran visa pelancong selama enam bulan dinaikkan dari RM188 kepada RM456.

Namun kenaikan itu telah ditarik balik kerajaan India pada Isnin.

Mereka yang sudah membayar kadar RM456 sejak beberapa hari lalu mempunyai dua pilihan iaitu mendapat bayaran balik atau lanjutan selama enam bulan.

“Ia satu berita gembira untuk rakyat Malaysia yang mahu berkunjung ke India,” kata K. Thangavelu yang juga mengetuai IVS Global Services Sdn Bhd, sebuah syarikat yang bertindak sebagai ejen kepada Suruhanjaya Tinggi India dalam menyediakan visa ke negara itu.

Thangavelu berkata dia dimaklumkan mengenai keputusan mengekalkan bayaran lama oleh Suruhanjaya Tinggi India pada Isnin.

“Ramai berkunjung ke India menggunakan visa pelancong untuk melawat saudara mara atau menjalankan upacara keagamaan. Kebanyakan mereka bukan orang kaya, jadi kenaikan mendadak akan menjadi bebanan besar kepada mereka,” katanya memetik sumber mStar Online.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata tidak adil apabila kerajaan India menjadikan perjalanan rakyat Malaysia ke India lebih mahal, terutamanya atas sebab-sebab agama, apabila Malaysia mengambil beberapa langkah untuk memudahkan warga India melawat Malaysia.

Pelancong dari India yang melawat Malaysia mendapat visa ketibaan percuma jika mereka tinggal di negara ini selama 15 hari.

“Saya telah menyampaikan rasa tidak puas hati kita mengenai kenaikan caj visa yang dicadangkan oleh kerajaan India kepada Pesuruhjaya Tinggi India,” kata beliau dalam satu posting Facebook.

Dr Subramaniam kini berada di India, menemani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan lawatan kerja ke negara itu.

Pada 2015, kira-kira 722, 141 pelancong India melancong ke Malaysia.

Angka itu lebih dua kali ganda berbanding 272, 941 rakyat Malaysia yang berkunjung ke India menggunakan visa pelancong.

Malaysia kini menduduki tempat keenam dari segi ketibaan pelancong asing di India.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");